MUHAMMAD Sanusi menyifatkan dakwaan PN menerima dana judi untuk membiayai kempen pilihan raya sebagai bertujuan menimbulkan persepsi buruk. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
MUHAMMAD Sanusi menyifatkan dakwaan PN menerima dana judi untuk membiayai kempen pilihan raya sebagai bertujuan menimbulkan persepsi buruk. FOTO Noorazura Abdul Rahman.
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi bagi membiayai kempen pilihan raya lalu hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap gabungan itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu itu juga bermotifkan politik semata-mata.

Katanya, PAS mempunyai dana yang mencukupi tanpa perlu dibiayai pihak lain, berikutan memperoleh derma daripada ahli PAS sendiri.

"Ia (isu dana judi) dari awal hanya isu politik sahaja untuk timbulkan persepsi. Persepsi ini ada yang betul, ada yang tak betul.

"PAS ini duit ahli kita dok dalam poket, mai derma… mai derma. Kita haramkan judi di negeri ini takkan tauke judi nak bagi derma kat kita.

"Nak buat aktiviti (judi) tak boleh, pergi tanya di negeri yang menghalalkan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) di Wisma Negeri di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Anwar sebagai berkata, PN kemungkinan memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

Beliau turut menegaskan tidak akan membuat sebarang dakwaan tanpa asas.

Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum itu dilaporkan tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Anwar perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaan itu dengan segera.

"Perdana Menteri pun tak boleh siasat sendiri hanya agensi (SPRM) boleh buka fail. Fail daripada agensi bukan dari dia.

"Asas kepada semua dakwaan itu, Sila kemukakan bukti. Sebab dia yang tuduh, jadi dia kena buktikan, beban bukti terletak pada yang tuduh. Sila buktikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 6:02 PM