TAN Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional di Dewan Perhimpunan Tambunan. FOTO BERNAMA
TAN Sri Muhyiddin Yassin berucap pada Majlis Rapat Umum dan Semarak Perikatan Nasional di Dewan Perhimpunan Tambunan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Tambunan: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.

Menurut Muhyiddin, Presiden PKR itu gagal menyatakan jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya tanpa mengemukakan sebarang akuan bersumpah (SD).

"Dia (Anwar) buat kenyataan dan apabila kita tanyakan siapa yang sokong dia dan siapa yang memberikan SD untuk menyokong dia, dia tidak menjawab, dia kata tunggu lagi.

"Tetapi setakat hari ini saya sendiri pun tidak tahu, kenyataan itu mungkin betul mungkin tidak," katanya ketika berucap pada majlis rapat umum dan semarak Perikatan Nasional (PN) di sini hari ini.

Anwar dalam sidang media Rabu lalu mendakwa mendapat sokongan yang "kukuh dan meyakinkan" daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata kesemua Ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga sudah menyatakan sokongan kepada kerajaan pimpinannya dan menafikan memberi sokongan kepada Anwar.

Malah, menurutnya beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO yang dikatakan menyokong Anwar juga sudah menafikan pembabitan mereka.

"Dalam beberapa hari selepas pengumuman (Anwar) itu banyak kenyataan daripada Ahli Parlimen UMNO yang menafikan. Mereka tidak masuk dalam senarai itu.

"Dengan jawapan yang menafikan itu, saya menjadi lebih ragu-ragu lagi adakah ia betul atau hanya kenyataan politik," katanya.

Muhyiddin berkata beliau juga sudah merujuk perkara itu kepada Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan dimaklumkan yang beliau masih lagi Perdana Menteri.

"Mungkin apabila Yang di-Pertuan Agong sudah ditunjukkan bukti (sokongan) kalau ada, maka tentu Agong titah supaya saya menghadap baginda tetapi sampai sekarang saya tidak dipanggil (Istana)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai sandiwara politik.

Beliau berkata dakwaan Anwar itu hanya 'mimpi September' Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk menjadi Perdana Menteri.

"Dakwaan itu tidak datang dengan bukti, dengan jumlah kerusi, malah setakat ini semua nama pemimpin kita yang didakwa ada dalam senarai menyokong Anwar sudah menafikan perkara itu," katanya.

Berita berkaitan:

  • Muhyiddin PM sah mengikut Perlembagaan - Abdul Hadi
  • Muhyiddin perlu dikekalkan - MB Kedah
  • Bubar saja Parlimen - Tajuddin
  • Pas cabar Anwar senaraikan nama beri sokongan
  • Tiada Ahli Parlimen GPS lompat - Abang Johari
  • Ada Ahli Parlimen Umno, BN nyata sokongan kepada Anwar: Ahmad Zahid
  • Saya masih Perdana Menteri: Muhyiddin
  • Agong titah semua pihak utamakan kesejahteraan rakyat
  • Anwar rakus, gila kuasa
  • GPS berdiri teguh di belakang Muhyiddin
  • DAP sokong Anwar
  • PM tenang saja
  • 'Kerajaan tidak tumbang dengan hanya isytihar sahaja'
  • Amanah sokong Anwar
  • 'Saya dapat sokongan hampir dua pertiga Ahli Parlimen' - Anwar
  • Anwar umum dapat sokongan kukuh bentuk kerajaan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 2:19 PM