RAZALI (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya. FOTO Ihsan pembaca.
RAZALI (kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya. FOTO Ihsan pembaca.
Suraya Ali


Kuala Lumpur: Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung fitnah serta dakwaan ke atas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau mendakwa, Anwar dan Ahmad Zahid serta sekutu mereka cuba menjatuhkan kepimpinan PN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi melumpuhkan kekuatan politik gabungan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Antara tindakan diambil PH termasuk membekukan akaun bank Bersatu dan mendakwa serta mengheret kepimpinan parti berkenaan ke mahkamah.

" Pada 6 Disember 2022, saya telah menonton televisyen, Anwar sebagai Menteri Kewangan mendakwa kerajaan di bawah Muhyiddin telah menyeleweng RM600 bilion pakej ekonomi.

"Dakwaan tersebut jelas adalah fitnah dan tohmahan palsu apabila RM600 bilion diturunkan kepada RM530 bilion sehingga ke RM92.5 billion kemudiannya kepada RM4.5 bilion sehingga akhirnya kepada RM300 juta sahaja.

"Ahmad Zahid menerusi ucapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada Januari lalu menyatakan akan wujud kluster mahkamah dalam kalangan pemimpin PN dan Bersatu, meskipun siasatan penuh masih belum lengkap ketika itu.

"Ini adalah bukti jelas menunjukkan wujud konspirasi jahat ke atas Muhyiddin, PN dan Bersatu," katanya.

Razali yang juga Pengerusi Bersatu Terengganu mendakwa, Anwar menyalahgunakan kuasanya selaku Perdana Menteri ke-10 dengan menekan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas kepimpinan Bersatu.

Beliau berkata, tindakan itu bertujuan memberi persepsi yang buruk kepada parti berkenaan dan cuba menampakkan fitnah dan tohmahan mempunyai asas bagi menghancurkan PN.

Menurut Razali, beliau membuat laporan polis untuk menghalang perbuatan jenayah dan mengekang penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin kerajaan yang menggunakan agensi penguat kuasa serta menyalahgunakan proses undang-undang demi kepentingan survival politik.

"Semua tindakan undang-undang yang dikenakan ke atas PN, Bersatu, Muhyiddin dan kepimpinan PN yang lain termasuk membekukan akaun Bersatu jelas menunjukkan konspirasi jahat dengan menyalahgunakan proses undang-undang dan bermotifkan pendakwaan politik.

"Tujuan sebenar Anwar, Ahmad Zahid dan pakatan mereka dalam Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan rakyat kepada PN.

"Ia juga bertujuan menjatuhkan maruah daripada parti yang bersih kepada korupsi dan rasuah yang akan meresahkan rakyat serta menghakis kepercayaan kepada PN khususnya bagi menghadapi PRN akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 12:37 AM