Izad Thaqif Hassan

Kulim: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dan menyifatkan tuduhan dakwaan parti itu menerima pembiayaan daripada syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hanya fitnah.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu tidak disokong bukti yang kukuh, selain andaian yang dibuat berdasarkan kempen meluas PN ketika PRU15.

"Itu fitnah, mana buktinya? Mudah sangat nak lempar tuduhan sebegitu. Kita ada prinsip. Kalau nak terima sokongan pun, kita tak terima dari sumber yang haram( yang dilarang).

"Jadi, saya tidak tahu bagaimana Perdana Menteri membuat dakwaan yang begitu serius hanya kerana kita menang (banyak kerusi).

"Hanya kerana kita mempunyai banyak bendera atau kita telah menggerakkan jentera kita dengan berkesan dan menewaskannya sehingga UMNO mengalami kekalahan besar di lapan negeri," katanya pada sidang media selepas ceramah Grand Finale PN Padang Serai di Taman Selasih di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga presiden BERSATU menafikan dakwaan bahawa PN berbelanja secara berlebihan untuk kempen itu memandangkan gabungan itu baru wujud dua tahun manakala BERSATU hanya ditubuhkan lima tahun lalu.

"BERSATU hanya wujud lima tahun dan PN wujud selama dua tahun. Bandingkan dengan PKR yang sudah berpuluh tahun lamanya.

"Saya tidak mahu tuduh dia (Anwar) apa-apa, malah mereka menerima dana politik. Saya rasa ia satu tuduhan yang sangat serius. Kita akan lihat apa yang patut kita lakukan," katanya ketika ditanya sama ada PN sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan terbabit.

Pada Isnin, Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.

Bercakap ketika sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar berkata dana pilihan raya untuk parti "Melayu" dan parti "Islam" datang dari syarikat perjudian.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut menafikan dakwaan berhubung penyelewengan dana RM600 bilion ketika beliau menjadi Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, beliau terkejut dengan tuduhan Anwar yang didakwanya tidak berasas.

"Sebagai Perdana Menteri, anda mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang anda katakan. Ia mesti berdasarkan fakta, ia mesti berdasarkan bukti, ia tidak sepatutnya berdasarkan khabar angin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 12:37 PM