RAUB Selamat.
RAUB Selamat.
Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Polis meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian bukan-bukan berhubung kematian pelakon dan pempengaruh media sosial, Syazlin Zainal pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu dan masih menunggu laporan penuh keputusan hasil bedah siasat.

"Laporan penuh bedah siasat ke atas mayat wanita berkenaan masih belum diperolehi pihak polis.

"Siasatan terperinci dari segenap sudut masih dijalankan dan kami memohon orang ramai supaya tidak membuat andaian yang bukan-bukan berhubung kes ini," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Allahyarham Syazlin, 26, dilaporkan meninggal dunia selepas dipercayai jatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar.

Raub berkata, mangsa menyewa di pangsapuri berkenaan dan siasatan dari pelbagai aspek sedang dijalankan.

Semalam, Raub melaporkan, hasil siasatan awal mendapati, sebab kematian mangsa adalah jatuh dari tingkat 22 pangsapuri dan kemudian mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pada masa sama, beliau turut memohon orang ramai yang melihat kejadian itu untuk tampil memberi maklumat di Balai Polis Taman Pelangi atau boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mat Nawi Ab Rahman di talian 016-5050808.

Jenazah Syazlin atau nama sebenarnya Syazlin Suhaizan Zainal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2, Ampang, Selangor, kira-kira jam 10 malam tadi.

Jenazahnya dibawa pulang ke Selangor oleh ahli keluarganya selepas selesai proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik HSA, kira-kira jam 4 petang semalam.

Allahyarham Syazlin pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Takdir Yang Tertunda dan Ada Yang Ngikut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 3:15 PM