POLIS menyiasat kematian seorang warga emas yang jatuh dari tingkat 12 pangsapuri di Taman Bayu Puteri di Johor Bahru. FOTO Ihsan Pembaca
POLIS menyiasat kematian seorang warga emas yang jatuh dari tingkat 12 pangsapuri di Taman Bayu Puteri di Johor Bahru. FOTO Ihsan Pembaca
Izlaily Nurul Ain Hussein


WANITA warga emas maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 12 pangsapuri di Taman Bayu Puteri di Johor Bahru, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, wanita berusia 77 tahun itu disahkan mati di tempat kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Mohd Afzanizam Yahaya berkata, polis bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada pengawal keselamatan pangsapuri itu yang memaklumkan mengenai kejadian.

“Polis ke tempat kejadian dan mendapati mangsa sudah meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari koridor tingkat 12 bangunan itu.

“Dipercayai mangsa tidak bekerja dan rumahnya juga terletak di aras sama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian.

“Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, untuk bedah siasat,” katanya.

Menurutnya, laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat impak jatuh dari tempat tinggi.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Julai 2019 @ 4:08 PM