SUSPEK (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak bagi mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini. FOTO Adi Safri
SUSPEK (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Tangkak bagi mendapatkan perintah tahanan reman, hari ini. FOTO Adi Safri
Badrul Kamal Zakaria


TEMPOH tahanan reman pengasuh berusia 35 tahun disambung selama tiga hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi lelaki, Naufal Amsyar Nabil Fikri, 10 bulan, semalam.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, perintah sambung reman bermula hari ini sehingga 25 Julai ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Tangkak untuk siasatan lanjut.

“Sebelum ini pihak polis sudah menahan reman pengasuh berkenaan pada Khamis lalu selama empat hari.

“Hari ini kita juga mendapat sambungan reman selama tiga hari iaitu bermula hari ini sehingga Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes terbabit.

“Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. Pasukan polis dan pakar perubatan juga melawat rumah pengasuh, semalam dan pagi ini bagi melakukan siasatan secara menyeluruh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, hari ini.

Mohad Idris berkata, proses bedah siasat terhadap mangsa masih dijalankan di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) hari ini dan akan menunggu laporan terbabit untuk tindakan susulan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kes mungkin akan diklasifikasikan semula selepas laporan hasil bedah siasat diperolehi daripada pihak hospital kelak.

“Pihak polis masih menunggu laporan bedah siasat kerana masih terlalu awal untuk mengaitkannya dengan unsur jenayah.

“Setakat ini, pengasuh berkenaan juga memberikan kerjasama baik dalam siasatan polis dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Sebelum ini pengasuh terbabit mendakwa bayi malang terbabit terjatuh dua kali ketika dalam jagaannya. Mangsa meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi semalam dan kita tunggu laporan hasil bedah siasat kelak,” katanya.

Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang andaian sehingga mendahului siasatan polis dan pada masa sama perlu menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa.

Allahyarham Naufal Amsyar disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad 17 Perubatan Pediatrik HPSF jam 9 pagi semalam akibat parah di bahagian kepala dipercayai terjatuh ketika berada dalam jagaan pengasuhnya di Taman Sialang selepas empat hari dimasukkan ke hospital berkenaan.

NSTP difahamkan proses bedah siasat masih dijalankan dan jenazah bayi berkenaan dijangka dibawa ke Rumah Pangsa Jalan Ong Siong, Tangkak sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kontang sebaik semua urusan diselesaikan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Polis tunggu laporan bedah siasat

[UPDATE] 'Ralat tapi terima ketentuan Ilahi'

Naufal sudah tiada

Doakan Naufal Nabil...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 4:46 PM