Jenazah Syazlin dikebumikan di  Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2, malam semalam.
Jenazah Syazlin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2, malam semalam.

Kuala Lumpur: Abang sulung kepada Allahyarham Syazlin Zainal iaitu Ezra Zaidi enggan mengulas spekulasi mengenai punca kematian adiknya yang terjatuh dari tingkat 22 pangsapuri di Johor Bahru, Johor, kelmarin.

Ezra berkata, kes terbabit dalam siasatan pihak polis dan masih menunggu laporan.

"Ikut laporan polis saja. Kes ini pun masih dalam siasatan polis. Kita tunggu nanti," katanya ringkas.

Terdahulu Syazlin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2, jam 10.10 malam semalam.

Dalam suasana hujan renyai majlis pengebumian itu dihadiri kira-kira 50 ahli keluarga dan sahabat.Antara rakan selebriti yang hadir ialah Shah Jaszle, Mas Khan, Fiza Thomas, Nelissa Nizam dan Hazeeq Dean.

Menurut Ezra, dia berada pelik apabila arwah memuat naik gambar mereka bersama di media sosial kerana sebelum ini Syazlin begitu menjaga privasi keluarganya.

"Sejak dia bergelar selebriti, arwah sangat menjaga privasi kami sekeluarga dan tidak pernah memuat naik apa-apa gambar kami di media sosialnya.

"Tapi pada hari jadi saya 8 November lalu, itu pertama kali dia muat naik dan tag nama sekali. Tak sangka pula itu menjadi petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya," katanya.

Pada Jumaat, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan Allahyarham maut dipercayai terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri.

Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 4:26 PM