FOTO Nor Amalina Alias
FOTO Nor Amalina Alias
Nor Amalina Alias


KIRA-KIRA 10,000 rakyat mengambil peluang membeli barangan dapur sempena jualan murah di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Melor, Kota Bharu, hari ini.

Jualan disertai 10 pemborong dan pengusaha membabitkan lebih 30 barangan seperti daging, ayam, sayur, bawang, milo, minuman botol, minyak masak dan gula yang dijual 10 peratus lebih murah.

Acara jualan itu menarik perhatian ramai apabila Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, sendiri menjadi ‘tukang lelong’.

Annuar berkata, program itu tanda keprihatinan kerajaan dalam memahami kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat.

Katanya, program berkenaan akan diteruskan setiap Jumaat minggu kedua, ketiga dan keempat di tiga lokasi iaitu di YKK, Dataran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Kok Lanas dan Dataran Guchil, Kadok Dalam.

“Kita akan tambah baik program ini dengan lebih banyak barangan selain membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk sertai jualan dengan syarat mereka sanggup turunkan harga dengan lebih murah,” katanya ketika ditemui di Program Jualan Istimewa Pusat Khidmat Amal dan Aktiviti Masyarakat Ketereh (KHADAM) Bantu Rakyat di YKK, hari ini.

Sementara itu, pengunjung, Sariah Yahya, 60, berkata, dia teruja dapat membeli barangan dapur dengan harga jauh lebih murah.

Katanya, melalui jualan itu dia dapat menjimatkan belanja dapur antara RM100 ke RM200 bagi keperluan lima beranak yang menetap di Kampung Padang Mokkan, Melor.

“Alhamdulillah, saya harap jualan ini diteruskan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 1:21 PM