AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Zahid. FOTO Arkib NSTP
Fahmy A Rosli

Bagan Datuk: Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa 35 projek pembangunan untuk rakyat kawasan itu ditangguhkan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, alasan yang beliau terima susulan pembatalan projek di kawasan berkenaan kerana kekangan kewangan.

Justeru, beliau kecewa dengan tindakan pihak lawan yang sanggup berkomplot untuk menzalimi masyarakat Bagan Datuk.

"Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), musuh BN ini bersepakat membatalkan 10 projek pembangunan utama di Bagan Datuk. Sebanyak 25 lagi projek pembangunan untuk rakyat Bagan Datuk ditangguhkan secara tiba-tiba.

"Alasan dibatalkan kerana implikasi kewangan amat menyakitkan hati kita semua, tetapi apakan daya. Seolah-olah tiada nilai Bagan Datuk serta masyarakatnya di mata mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menjelaskan status projek yang sepatutnya dilaksanakan di Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya selama lima penggal, Ahmad Zahid berkata ia adalah rancangan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, pelan projek itu sudah diteliti, dinilai kos dan manfaatnya oleh kerajaan BN sebelum tewas di tangan PH pada PRU14.

"Bagan Datuk diiktiraf sebagai daerah baharu ke-12 di Perak pada 2017 iaitu sebelum musuh BN mengambil alih kerajaan melalui fitnah dan tipu daya.

"Sejak menjadi daerah baharu di Perak, pelbagai pembangunan telah dirancang oleh kerajaan BN, membabitkan peruntukan berbilion ringgit yang diperuntukkan untuk penduduknya.

"Namun, gara-gara anasir politik musuh BN jadi tidak berperikemanusiaan. Sanggup batalkan dan tangguh projek pembangunan lain di daerah tercinta kita," katanya.

Oleh sebab itu, Ahmad Zahid mengajak rakyat Bagan Datuk tanpa mengira sentimen politik untuk bangkit pada hari pengundian, 19 November depan bagi memulangkan paku buah keras atas kezaliman musuh dari luar yang datang berbondong-bondong masuk ke Bagan Datuk.

"Kita sepakat memberi kemenangan besar kepada BN pada PRU kali ini, supaya mereka tahu erti penyesalan kerana pernah menganiaya dan menzalimi Bagan Datuk.

"Ia sekali gus terus mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan di Bagan Datuk dan Malaysia keseluruhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 2:52 PM