Zatul Iffah Zolkiply; Baharom Bakar dan Nazdy Harun

Kuala Berang: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno menjelaskan beliau tidak pernah terfikir untuk berbuat sedemikian.

Beliau turut memaklumkan tidak tahu bagaimana dakwaan seperti itu boleh timbul dan daripada mana sumber kenyataan berkenaan diambil.

"Saya tidak tahu di mana punca dan sumber yang menjurus begitu…saya fikir eloklah kita tanya pada orang itu atau kumpulan itu dan saya belum terniat pun untuk melakukan yang sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Solidariti dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera BN PRU15 di Akademi Binaan Malaysia di Jenagor di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Perhubungan BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan melaporkan Ahmad Zahid tidak akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandangnya sejak empat penggal lalu dalam PRU-15.

Laporan akhbar itu menyatakan tempat Ahmad Zahid akan diganti sama ada anaknya, Nurul Hidayah atau pun orang kanan beliau sendiri.

Malah, Setiausaha Kerja Umno Datuk Mohd Sumali Reduan ketika dihubungi turut menafikan laporan itu dan menganggap ia hanya sekadar propaganda pihak tertentu untuk menjatuhkan kredibiliti Ahmad Zahid.

ISMAIL Sabri bersama Ahmad Zahid melambaikan tangan ketika Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Negeri Terengganu di Jenagor,  Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori
ISMAIL Sabri bersama Ahmad Zahid melambaikan tangan ketika Himpunan Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Negeri Terengganu di Jenagor, Kuala Berang. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 7:23 PM