AHMAD Zahid menyampaikan ucapan di Kampung Banang, Hutan Melintang. FOTO Aizuddin Saad
AHMAD Zahid menyampaikan ucapan di Kampung Banang, Hutan Melintang. FOTO Aizuddin Saad
Shaarani Ismail


SEBUAH lapangan terbang mini akan dibina di Ladang Jendarata, Hutan Melintang yang akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan Parlimen Bagan Datuk.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang mini itu tercetus hasil perbincangan beliau dengan sebuah syarikat pelaburan dari Kanada.

Katanya, syarikat berkenaan berminat untuk membuka dan mengendalikan gudang selenggara dan baik pulih pesawat (MRO) berskala kecil di kawasan itu.

Ahmad Zahid berkata, perbincangan antara beliau dan pihak pelabur sudah dibuat tiga bulan lalu dan pihak berkenaan juga sudah membentangkan kertas kerjanya.

“Mereka sudah membentangkan kertas kerja dan mereka lihat Bagan Datuk kawasan yang landai dan tidak dikelilingi gunung-ganang atau bukit-bukau, malah hasil tinjauan mereka juga mendapati kawasan ini sesuai.

“Justeru, mereka meminta supaya kawasan itu dibina landasan yang mesti sesuai untuk jet atau kapal terbang perdagangan pada jarak yang bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kenduri Pusat Daerah Mengundi (PDM) Zon Jambatan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang, Hutan Melintang, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, jika perbincangan itu berjaya, beliau akan memohon Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Berhad (UP Berhad) Datuk Carl Bek-Nielsen untuk membantu memperbesar dan meluaskan lagi lapangan terbang mini sedia ada milik mereka di Ladang Jendarata.

Beliau berkata, bagaimanapun nilai sebenar pelaburan langsung asing (FDI) yang akan dibawa masih belum dikenalpasti, tetapi beliau menjangkakan nilainya tinggi sekiranya pelabur asing itu bersetuju membuat pelaburan itu.

“Mereka (pelabur) juga sudah mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pekerja mahir dalam bidang penerbangan dan saya akan berbincang dengan pengurusan Politeknik Bagan Datuk bagi mewujudkan Fakulti Kejuruteraan Penerbangan.

“Ketika ini, politeknik ini mempunyai dua fakulti iaitu Kejuruteraan Marin dan Kejuruteraan Automotif.

“Kita mahu tenaga mahir ini dapat digali potensinya dari anak-anak Bagan Datuk dan pelajar luar kawasan Bagan Datuk,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pelabur berkenaan juga akan membuat kajian yang mendalam terhadap tanah dan kawasan Bagan Datuk terlebih dahulu kerana tanah di kawasan itu lembut dan memerlukan rawatan tanah yang bersesuaian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 9:01 PM