AHMAD Zahid hadir untuk prosiding bela diri kes pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
AHMAD Zahid hadir untuk prosiding bela diri kes pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin
Ahmad Johari Mohd Ali


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu, hampir kesemua masjid dan surau di daerah Bagan Datuk, Perak mendapat sumbangan peribadi daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Pengerusi Masjid Seri Perkasa, Kampung Seri Perkasa Hutan Melintang, Bagan Datuk, Atan Sampol, 67, berkata, Presiden Umno itu juga amat menjaga dan memberi perhatian kepada penduduk daerah terbabit khususnya anak yatim dan orang susah.

Menurut saksi ke-14 pembelaan itu, Ahmad Zahid yang dikenali penduduk Bagan Datuk sebagai seorang pemurah dan dermawan, membiayai 100 peratus kos dan memberi sumbangan bagi pembinaan Masjid Seri Perkasa yang menelan belanja hampir RM600,000.

"Masjid ini sebelumnya adalah surau yang sudah lama dan uzur, oleh itu surau ini dibaik pulih dan dinaik taraf pembinaannya kepada sebuah masjid.

"Dalam tempoh ia dinaik taraf kepada masjid, kesemua jemaah dan qariah menumpang di Surau Kebun Baru. Saya juga tahu Datuk Seri ada menyumbang RM30,000 untuk kebajikan surau berkenaan.

"Bayaran bagi pembinaan Masjid Seri Perkasa ini dibayar terus kepada kontraktor iaitu arwah Hj Sanusi yang meninggal dunia pada 2015 akibat penyakit kanser," katanya.

Atan berkata demikian ketika memberikan keterangan bagi Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk yang didakwa dengan 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Sementara itu seorang penyelia projek, Marlin Ahmad, 50, berkata, antara projek dilaksanakan syarikat kontraktor, Sutida Enterprise yang menerima sumbangan Ahmad Zahid di Bagan Datuk sejak 1999 ialah Rumah Anak Yatim Hamidiyah dengan kos RM1.14 juta, Masjid Seri Perkasa (RM600,000), Surau Kampung Parit 25 Darat (RM50,000), Dewan Hajah Tuminah (RM450,000) dan pembinaan Sekolah Menengah Imtiaz Tuminah Hamidi.

Saksi ke-13 pembelaan itu berkata, beliau diberitahu oleh abangnya, Sanusi iaitu pengasas Sutida Enterprise, Ahmad Zahid tidak suka sumbangannya diketahui pihak lain, kontraktor tidak pernah membina notis atau papan yang menunjukkan sesebuah projek adalah daripada sumbangan beliau.

Menurut Marlin, beliau turut diberitahu oleh abangnya bahawa Ahmad Zahid sentiasa menepati janji dan menjelaskan setiap bayaran kepada syarikat kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di Bagan Datuk.

"Saya mengetahui hampir kesemua kerja atau projek yang arwah abang saya lakukan adalah arahan daripada Datuk Seri. Kebiasaannya selepas mendapat arahan, arwah abang akan membuat kerja terlebih dahulu tanpa meminta apa-apa bayaran pendahuluan.

"Ini kerana, Datuk Seri sentiasa menepati janji dan akan membayar hasil kerja daripada arwah abang. Arwah abang saya juga pernah beritahu, kadang kala Datuk Seri (Ahmad) Zahid akan membayar lebih kepada arwah abang," katanya.

Pengerusi Surau An Nur Parit 25 Darat di Bagan Datuk, Mokhtar Tukol, 66, pula memberitahu mahkamah bahawa sepanjang mengenali Ahmad Zahid lebih 35 tahun baharu menceburi bidang politik di Bagan Datuk, beliau seorang yang sangat pemurah dan menyumbang bagi tujuan kebaikan.

Katanya, Ahmad Zahid pernah menyatakan kepadanya bahawa apabila beliau (Ahmad Zahid) sudah tentu akan memberikan sumbangan sebagai saham akhirat apabila berkemampuan dan mempunyai peluang untu berbuat demikian.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 4 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 1:19 PM