MINN Xuen (tengah) bersama ibu, Tee Meng Yee dan bapanya, Lee Teck Seng.
MINN Xuen (tengah) bersama ibu, Tee Meng Yee dan bapanya, Lee Teck Seng.
Redzuan Muharam


Kulim: Ketika kanak-kanak lain membesar dengan normal, berbeza dengan Lee Minn Xuen yang menghidap 'mild thoracolumbar scoliosis' atau sakit tulang belakang tahap ringan.

Kesannya, tulang belakang Minn Xuen, 10, membengkok hingga pergerakannya terbatas dan tidak boleh terlalu aktif.

Bapanya, Lee Teck Seng, 38 yang menetap di Taman Lagenda, Padang Serai, di sini, berkata, dia menyedari ada yang tidak kena pada anak tunggalnya itu sejak berumur tujuh tahun.

"Pada waktu itu, saya nampak bahunya senget, tidak normal seperti biasa.

"Jadi, saya membawanya ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang namun doktor ketika itu memaklumkan penyakitnya tidak serius. Doktor juga tidak mengesyorkan rawatan kerana usianya masih kecil.

"Lama-kelamaan, tiada perubahan malah keadaannya semakin serius dan sebenarnya isteri saya (Tee Meng Yee, 41) juga ada masalah sama ketika berusia 12 tahun tetapi sudah menjalani pembedahan.

"Jadi, penyakit anak saya ada kaitan dengan masalah genetik dan sedih juga apabila anak tanggung derita sama seperti ibunya," katanya ketika ditemubual secara maya, hari ini.

Bercerita lanjut, Lee berkata, penyakit itu pernah menyebabkan Minn Xuen diejek di sekolah.

"Dia ada mengadu hal itu namun saya nasihatkan dia supaya tidak ambil hati dengan ejekan itu.

"Saya juga ada beritahu cikgu keadaannya. Cikgu faham dan bantu memastikan dia tidak mengangkat barangan berat," katanya.

Berkongsi keadaan terkini anaknya, Lee berkata, Minn Xuen mula memakai alat pendakap tulang belakang sejak Mei tahun lalu.

Katanya, pemakaian alat itu bagi memperbaiki postur tulang belakang supaya tidak semakin membengkok namun bukan pemulihan sepenuhnya.

"Kini, dia memerlukan alat pendakap sokongan tulang belakang 3 dimensi (3D) yang baru namun harganya RM5,000.

"Saya hanya bekerja sebagai pembantu kedai telefon bimbit dengan gaji antara RM2,000 hingga RM2,500 jadi tidak mampu membelikannya.

"Keluarga ada bantu cuma tidak banyak namun mereka tidak henti beri sokongan moral.

"Diharap, ada pihak luar yang sudi membantu menyumbang dana dan terima kasih saya ucapkan," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Maybank 514105323170) atau melalui cek disertai nama pesakit, Lee Minn Xuen yang boleh dihantar ke Jabatan Komunikasi Korporat Media Prima Berhad, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau hubungi talian 03-27248955 untuk sebarang pengesahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 2:45 PM