Nur Farhani Aleesya Zainal Arshad dibantu ibubya menunjukkan kakinya yang menghidap Osteogenesis dan memerlukan RM60,000 untuk menjalani pemedahan di Hospital Gleneagles. FOTO FATHIL ASRI
Nur Farhani Aleesya Zainal Arshad dibantu ibubya menunjukkan kakinya yang menghidap Osteogenesis dan memerlukan RM60,000 untuk menjalani pemedahan di Hospital Gleneagles. FOTO FATHIL ASRI
Mahaizura Abd Malik dan Nor Hashimah Nor Hasim


Kuala Lumpur: Sejak dilahirkan, Farhani Aleesya Zainal Arshad, belum pernah merasa berjalan macam orang lain kerana penyakit dihidapinya Osteogenesis Imperfecta (OI) atau kerapuhan tulang memusnahkan peluang itu.

Farhani Aleesya, 13, yang belajar di sebuah sekolah menengah di Gerik, Perak itu berkata, penyakitnya itu membuatkan dia hanya mampu memendam keinginan melihat rakan sebaya menjalankan aktiviti harian secara normal.

Berbanding dirinya, kata remaja itu pergerakannya agak terbatas apabila hanya mampu menggunakan kerusi roda yang perlu ditolak dengan bantuan keluarganya, rakan dan guru.

"Kalau di rumah saya banyak mengengsot dan dibantu ibu dan adik beradik dan apabila di sekolah pula ramai kawan dan cikgu membantu tolak kerusi roda.

"Saya harap pembedahan ini berjalan lancar kerana saya tak nak rasa sakit kaki patah lagi selain teringin juga nak rasa berjalan macam kawan-kawan lain," katanya yang juga penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, ibunya, Sakinah Omar, 48, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu disahkan menghidap penyakit itu beberapa hari selepas dilahirkan pada November 2010.

"Waktu itu, saya tak tahu lagi apa penyakit tetapi dia kerap menangis sebelum saya rujuk ke hospital dan doktor mengesahkan penyakit ini.

"Sejak itu, tulang kedua-dua kakinya mudah patah hingga berbelas kali terutama pada bahagian betis dan peha dan setiap kali ia berlaku bahagian itu akan disimen," katanya.

Ibu tunggal itu berkata, demi masa depan anaknya, remaja itu dirujuk ke Gleneagles Hospital Kuala Lumpur untuk pembedahan memasukkan besi pada kedua-dua kakinya.

"Doktor ada cakap, apabila masukkan besi peluang dia berjalan cerah tetapi mungkin memakan masa kerana ada rawatan susulan termasuk fisioterapi.

"Buat permulaan ini, dia akan menjalani pembedahan pertama memasukkan besi pada kedua-dua pehanya dulu.

"Pembedahan kedua untuk betis pula dijangka dilakukan selepas beberapa bulan," katanya.

Sebagai ibu katanya, besar harapannya melihat anak kesayangan itu boleh berjalan dan menguruskan diri seperti remaja lain, namun jumlah kos pembedahan membingungkan dirinya.

"Pembedahan untuk kedua-dua prosedur itu memerlukan RM60,000, tetapi dengan saya tiada pendapatan tetap kerana hanya buat kuih kecil-kecilan dan dibantu anak-anak memang rasa agak terbeban dan tidak mampu sangat.

"Anak saya suka belajar dan pergi sekolah tetapi dengan keadaannya begitu sudah pasti menyukarkan urusan hariannya.

"Jadi, saya merayu sumbangan orang ramai supaya anak saya dapat berjalan macam remaja normal lain dan saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan sumbangan kepada tabung berkenaan layak mendapat pelepasan cukai.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank bernombor 514105323170 dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2023 @ 1:02 PM