Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Keadaan tulang belakangnya yang membengkok dan bahu senget sebelah, menyebabkan kanak-kanak ini malu dan kurang keyakinan berdepan rakan-rakannya di sekolah.

Masalah tulang belakang, scoliosis yang dialami Angel Low Hui Mei, 10, membuatkan pengawas sekolah itu tidak dapat melakukan aktiviti bersukan seperti rakan lain.

Faktor itu juga menyebabkan Angel menjadi pemalu, mudah sensitif dan mengalirkan air mata kerana pandangan negatif segelintir rakan terhadap kekurangan dirinya.

Neneknya, Yeow Kwek Lai, 53, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu disahkan menghidap scoliosis dengan keadaan tulang 36 darjah, Oktober tahun lalu.

"Kami perasan perubahan pada bahu Angle yang senget sebelah dan belakangnya juga sedikit bongkok.

"Saya membawanya ke klinik berhampiran rumah sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh dan pusat perubatan Teh Lin Prosthetic and Orthopaedic.

"Doktor memberitahu tulang belakangnya membengkok 36 darjah dan perlu memakai pendakap khas bagi mengelak tulangnya terus membengkok," katanya.

Katanya, kos pemakaian pendakap tulang belakang itu mencecah RM5,000.

"Saya dimaklumkan, dia perlu dirawat segera jika tidak tulangnya semakin membengkok dan berisiko kepadanya.

"Kami rayu rakyat Malaysia dapat membantu cucu saya tingkatkan keyakinan dia supaya dia tidak malu lagi dan boleh hidup normal macam kanak-kanak lain," katanya.

ANGEL disahkan menghidap scoliosis dengan keadaan tulang 36 darjah.  FOTO Amirudin Sahib
ANGEL disahkan menghidap scoliosis dengan keadaan tulang 36 darjah. FOTO Amirudin Sahib

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP dan sumbangan kepada tabung berkenaan layak mendapat pelepasan cukai.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun Bank Muamalat bernombor 14010008842718 atau Maybank bernombor 514105323170 dan nyatakan nama pesakit pada bahagian rujukan penerima atau butiran pembayaran lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 3:20 PM