Ahmad Suhael Adnan


Petaling Jaya: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menafikan dakwaan menggunakan dana awam untuk mengkayakan diri sendiri hingga berjaya mengumpul harta berjumlah RM18.9 juta, seperti yang diisytiharkannya baru-baru ini.

Beliau turut menempelak pihak yang mempertikaikan kesahihan nilai harta yang dimiliki, berikutan sebahagian besar daripada RM18.9 juta itu adalah nilai saham syarikat pemula teknologi miliknya, INVOKE Solutions Sdn Bhd.

Menurut Rafizi, beliau tidak perlu menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi kerana memiliki kewangan mencukupi dan sudah bergelar jutawan seawal berusia 30 tahun ketika masih bekerja dengan Petronas.

"Pada umur 26 tahun, gaji permulaan saya di Petronas adalah RM3,750. Setelah enam bulan, saya disahkan sebagai pengurus dan gaji naik kepada RM11,000 sebulan dan setahun kemudian, saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perancangan Petrokimia pada umur 27 tahun dan gaji RM25,000 sebulan.

"Ketika itu juga, Petronas memendekkan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan dari 60 tahun ke 55 tahun, jadi saya dibayar pampasan RM400,000 pada umur 29 tahun bagi tempoh lima tahun perkhidmatan yang dipendekkan.

"Saya juga berada dalam industri minyak dan gas ketika harga minyak naik mendadak dan bonus tahunan yang besar, di mana sepanjang tujuh tahun saya di Petronas, bonus tahunan purata saya adalah antara 10 hingga 12 bulan setahun.

"Sebab itu saya mempunyai simpanan yang mencecah RM2 juta menjelang umur 30 tahun dan simpanan ini yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula.

"Sebagai tokoh pembangkang yang lantang, jika ada penipuan atau penyelewengan, sudah tentu sudah lama saya disiasat dan didakwa di mahkamah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), seperti mana Datuk Seri Najib Razak didakwa akibat kesalahan membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan penyandang kerusi Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang mempersoal sama ada kekayaan Rafizi yang menghampiri RM18.9 juta, dibina menggunakan dana awam yang dikumpul menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Ia berikutan ketika menubuhkan INVOKE pada 2016, Rafizi menjalankan kempen mengumpul dana awam menggunakan syarikat itu, bagi kegunaan PKR dan Pakatan Harapan (PH) dalam misi menumbangkan BN dalam PRU-14.

Menjelaskan perkara itu, Rafizi mengakui berjaya mengumpul dana awam sekitar RM11 juta antara 2016 hingga 2018, di samping melalui beberapa aktiviti lain seperti penjualan cenderamata dan langganan pengguna.

Bagaimanapun, katanya, semua dana awam berjumlah RM11 juta itu sudah habis digunakan untuk membiayai kempen PRU-14 bagi calon PKR termasuk Mohd Rashid, yang akhirnya menyumbang kepada kemenangannya menawan kerusi Parlimen Batu Pahat ketika itu.

"Selepas PRU-14 berakhir dan semua hasil dibelanjakan sepenuhnya, saya tiada pilihan lain kecuali menukar model INVOKE menjadi komersial dan menerbitkan saham baharu kepada pelabur untuk membolehkan kakitangan INVOKE berjumlah 150 orang dikekalkan.

"Semua rekod ini, merangkumi gaji dan pendapatan saya serta penyata kewangan dan percukaian INVOKE ada dengan semua pihak berkuasa," katanya.

Berhubung pihak yang mempertikaikannya meletak nilai RM16.7 juta pada saham INVOKE kerana syarikat pemula itu didakwa menanggung kerugian, Rafizi menjelaskan pihak yang mendakwa demikian tidak pandai membaca laporan kewangan penuh.

Katanya, kerugian INVOKE hanyalah di peringkat kumpulan, sedangkan anak syarikat yang dinilaikan dalam pengisytiharan hartanya mencatat keuntungan setiap tahun sejak 2020, dan hanya sekali merekodkan kerugian iaitu pada 2019.

"Keuntungan INVOKE mengikut tahun kewangan 2020 adalah RM507,000, tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta).

"Terbitan saham terakhir INVOKE tahun ini adalah pada nilaian RM75 juta," katanya.

RAFIZI ketika sidang media. FOTO Asyarf Hamzah
RAFIZI ketika sidang media. FOTO Asyarf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 7:47 PM