MOHD Fikri dan isteri, Norhiza Fadila bersama tiga anak mereka di puncak Gunung Stong.FOTO Ihsan Mohd Fikri Mohd Soffian
MOHD Fikri dan isteri, Norhiza Fadila bersama tiga anak mereka di puncak Gunung Stong.FOTO Ihsan Mohd Fikri Mohd Soffian
Redzuan Muharam

Kuala Krai: Usia bukan penghalang buat tiga beradik, Muhammad Azfar, Muhammad Ammar dan Hanaa Awaanis untuk menawan puncak Gunung Stong, Dabong di sini, yang berketinggian 1,422 meter.

Lebih mengagumkan, tiga beradik yang menetap di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan itu tidak hanya mendaki malah membawa beban dengan Muhammad Azfar, 10, memikul beg yang beratnya lapan kilogram (kg), Muhammad Ammar, 8, (6kg) dan Hanaa Awaanis, 6, (4kg).

Bapa mereka, Mohd Fikri Mohd Soffian, 36, berkata, aktiviti pendakian itu dilakukan pada 22 hingga 24 Oktober lalu dan turut disertai isterinya, Norhiza Fadila, 36, ketika mereka sekeluarga menghabiskan cuti sempena perayaan Deepavali di Dabong.

Katanya, perancangan untuk menawan puncak Gunung Stong dengan isteri dan tiga anaknya itu dilakukan tiga bulan lebih awal kerana mereka perlu menaiki kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan ke Dabong.

"Sebelum tercetusnya pandemik Covid-19, saya dan isteri selalu mendaki gunung di dalam dan luar negara tetapi hanya berdua tanpa anak-anak.

"Selepas tamat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami sepakat untuk habiskan lebih masa dengan anak dan pernah bawa mereka mendaki beberapa gunung dalam negara iaitu Gunung Datuk (Negeri Sembilan), Gunung Angsi (Negeri Sembilan), Gunung Lambak (Kluang, Johor) serta Gunung Machingcang (Kedah).

"Sebenarnya, saya sudah banyak kali mendaki Gunung Stong dan tak dinafikan ia memang tinggi namun tidak terlalu teknikal. Kerana itu, saya berani bawa anak ke situ.

"Cuma, sebelum mulakan pendakian, saya bawa anak bersenam iaitu joging santai sebagai persediaan stamina mereka," katanya kepada Harian Metro.

MOHD Fikri bersama isteri dan tiga anak bergambar kenangan ketika mendaki Gunung Stong. FOTO Ihsan Mohd Fikri Mohd Soffian
MOHD Fikri bersama isteri dan tiga anak bergambar kenangan ketika mendaki Gunung Stong. FOTO Ihsan Mohd Fikri Mohd Soffian

Menurut Mohd Fikri, pendakian naik dan turun daripada puncak mengambil masa tiga hari dua malam serta dilakukan secara santai.

Selain anak dan isteri, pendakian turut disertai bekas penuntutnya daripada Kelab Ekspedisi Mendaki Politeknik Port Dickson serta mendapat bantuan khidmat malim gunung dikenali Ayie daripada Persatuan Malim Gunung Kelantan (PMGK).

"Pendakian ke puncak mengambil masa 16 ke 17 jam dan kami tidak mendaki terus, sebaliknya berehat dengan bermalam di Kem Baha.

"Alhamdulillah, cuaca baik jadi perjalanan ke puncak tidak banyak halangan. Anak-anak juga cergas sepanjang pendakian.

"Menariknya, kami sempat melalui Air Terjun Jelawang iaitu air terjun tertinggi di Asia Tenggara pada hari ketiga. Sebelum pulang, saya dan isteri sempat membawa anak meneroka gua di sekitar Dabong," katanya.

TIGA beradik berjaya menawan puncak Gunung Stong. FOTO Ihsan Mohd Fikri Mohd Soffian
TIGA beradik berjaya menawan puncak Gunung Stong. FOTO Ihsan Mohd Fikri Mohd Soffian

Mohd Fikri berkata, sebagai bapa, dia gembira kerana dapat memberi pendedahan kepada anaknya terhadap aktiviti pendakian pada usia kecil malah mengakui perkongsiannya di Facebook (Fb) bertujuan membuka minda ibu bapa di luar sana.

Katanya, dia juga bangga melihat tiga anaknya berjaya menawan puncak Gunung Stong lebih tinggi berbanding gunung pernah didaki sebelum ini.

"Ada segelintir individu agak skeptikal untuk membawa anak kecil naik gunung atau bukit kerana bimbangkan keselamatan.

"Tiada salahnya untuk berjaga-jaga namun pendakian untuk anak-anak sebenarnya selamat dan hanya bahaya jika tiada kawal selia daripada orang dewasa.

"Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, kanak-kanak peka malah pergerakan mereka juga laju. Saya dan isteri merancang untuk membawa lagi anak dalam misi akan datang jika ada kesempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 7:10 AM