Siti Rohana Idris

Kuala Krai: Hampir 20 tahun hidupnya diabadikan kepada hutan belantara apabila menjadi 'penjaga' di Kem Baha iaitu sebuah lokasi ekopelancongan di Dabong, di sini.

Tugas itu digalas Mohd Odie Borhanuddin, 40, sejak kematian bapanya, Borhanuddin Hassan yang juga pengasas tapak perkhemahan setinggi 450 meter dari aras laut malah nama Kem Baha itu juga diambil sempena nama arwah bapanya.

Mohd Odie berkata, tapak perkhemahan yang lazimnya disinggah pendaki sebelum meneruskan pendakian ke Gunung Stong itu dibangunkan arwah bapanya pada 1997 selepas mengambil alih lokasi itu daripada seorang rakan.

"Arwah bapa saya bekas seorang komando dan daripada pekerjaannya itu kita tahu dia sangat cintakan hutan dan hayatnya banyak dihabiskan di sana (Kem Baha).

"Ayah sempat menguruskan tapak perkhemahan ini selama enam tahun sebelum meninggal dunia pada 2002 di hutan ini akibat serangan jantung," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Odie yang berjinak dengan kehidupan dalam hutan itu sejak remaja lagi meneruskan warisan arwah bapanya untuk menguruskan destinasi pelancongan itu yang menyediakan lokasi pemandangan awan 'karpet' serta air terjun sebagai tarikan pendaki.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, hutan Jelawang itu sudah dianggap sebagai rumah keduanya kerana akan menginap di sana selama seminggu atau dua minggu dalam tempoh sebulan dan hanya pulang ke rumahnya di Kampung Jelawang sesekali sahaja.

MOHD Odie melayan pendaki yang singgah di pondoknya di puncak Kem Baha. FOTO Siti Rohana Idris.
MOHD Odie melayan pendaki yang singgah di pondoknya di puncak Kem Baha. FOTO Siti Rohana Idris.

Bagi pendaki amatur, tempoh masa diambil untuk sampai ke Kem Baha sekitar satu jam 30 minit namun bagi Mohd Odie yang sudah bertahun-tahun berulang-alik, jarak yang diambilnya tidak sampai satu jam.

"Di puncak Kem Baha ini saya mendirikan dua pondok iaitu sebagai tempat tinggal saya dan sebuah lagi dijadikan dapur serta tempat makan.

"Kawasan ini sentiasa dikunjungi pendaki dan ia boleh memuatkan sehingga 300 pengunjung jika ingin berkhemah malah saya juga menyediakan khidmat sewaan khemah.

"Selain berkhemah di sini, Kem Baha juga wajib disinggahi pendaki jika ingin teruskan pendakian menawan puncak Gunung Ayam atau Gunung Stong," katanya.

Mohd Odie berkata, bagi memastikan keselesaan pengunjung, lokasi itu turut disediakan kemudahan tandas serta tempat solat, namun untuk pendakian ke hutan Jelawang itu tidak boleh sesuka hati sebaliknya perlu bersama malim gunung atau penunjuk arah.

Menurutnya, setiap kali menerima kedatangan pendaki, dia akan mengingatkan beberapa syarat antaranya tidak membuat bising selepas tengah malam dan sentiasa menjaga tutur kata.

"Maklumlah, di dalam hutan, bukan hanya kita yang mendiami tapi ada juga makhluk lain dan sebab itu lah saya sering mengingatkan pengunjung agar 'menjaga mulut' bagi mengelakkan berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 10:43 AM