AWAN karpet yang terbentang di hadapan Kem Baha.
AWAN karpet yang terbentang di hadapan Kem Baha.
Hafiz Ithnin


AWAN karpet menjadi hidangan pemandangan seawal jam 6.30 pagi di Kem Baha.

Tatkala itu, perasaan kagum melihat keindahan dari paras mata burung di Air Terjun Jelawang berketinggian sekitar 303 meter dari aras laut.

Ternyata pengembaraan 14 penggemar aktiviti lasak untuk mendaki Gunung Baha, Gunung Ayam dan Gunung Stong yang terletak di Dabong, Kelantan itu menjanjikan kepuasan tersendiri.

Apatah lagi menyaksikan panorama awan karpet di Kem Baha iaitu salah satu lokasi persinggahan pendaki sebelum menawan ketiga-tiga puncak berkenaan.

Menceritakan pengalaman itu, Nazrul Amri Nazri berkata, mereka sudah lama merancang mendaki ketiga-tiga pucak gunung yang begitu popular di Negeri Cik Siti Wan Kembang sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa pada 18 Mac lalu.

"Kami merancang untuk berkelana di lokasi itu selama tiga hari dua malam dengan hari pertama menuju ke Kem Baha iaitu kem induk sebelum meneruskan pendakian ke tiga puncak gunung berkenaan pada keesokkan harinya.

"Dari kaki gunung ke Kem Baha mengambil masa pendakian sekitar dua jam sahaja. Di Kem Baha adalah destinasi terbaik untuk menikmati keindahan dan kesejukkan air Terjun Jelawang kerana ia mempunyai kolam yang agak selamat serta sesuai untuk bermandi-manda," katanya.

Jelasnya, Kem Baha juga menjadi destinasi terbaik untuk menyaksikan terbentangnya kirana awan karpet pada awal pagi dan memerhati bintang pada sebelah malamnya. Pastinya pesona pemandangan itu tidak dilepaskan mereka untuk merakam kenangan.

"Usai menyaksikan pemandangan itu dan mengisi perut dengan sarapan di kawasan tinggi, kami memulakan pendakian ke puncak Gunung Baha berketinggian 1,450 meter. Pendakian dari Kem Baha ke puncak itu mengambil masa sekitar empat jam mendaki secara santai.

"Sekitar 1 petang kami semua tiba di puncak Gunung Baha yang mempunyai papan tanda menunjukkan pendaki sudah tiba ke puncak gunung berkenaan. Semestinya mengambil gambar kenangan adalah perkara yang tidak dilepaskan," katanya.

Katanya lagi, dari puncak Gunung Baha pula mereka meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Ayam yang mengambil masa pendakian sekitar dua jam.

MERAKAM memori berlatar belakang Air Terjun Jelawang.
MERAKAM memori berlatar belakang Air Terjun Jelawang.

"Ternyata pengalaman mendaki kedua-dua puncak ini agak mencabar kerana bentuk muka buminya. Selain itu, persekitaran laluan trek yang masih terjaga menjadikan lokasi pendakian ini begitu sesuai untuk peminat rekreasi alam semula jadi.

"Seterusnya, kami menuju ke puncak Gunung Stong berketinggian 1,433 meter yang mengambil masa sekitar dua jam pendakian dari Gunung Ayam. Pada jam 11 malam baharu kami tiba kembali ke Kem Baha," katanya.

Nazrul berkata, mendaki ketiga-tiga puncak gunung itu mempunyai cabaran tersendiri. Namun, tatkala tiba di puncak segala kepenatan terasa berbaloi.

"Dalam pada masa yang sama menikmati kesejukan Air Terjun Jelawang antara perkara yang tidak dapat dilupakan ketika mendaki ketiga-tiga puncak gunung ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 7:00 AM