Muhamaad Razis Ismail


Taman Negeri Gunung Stong, Dabong, Kelantan cukup dikenali di dalam dan luar negara kerana memiliki keindahan alam semula jadinya yang masih terpelihara.

Antara 'trademark' lokasi ekopelancongan itu sudah pasti Air Terjun Jelawang yang mempunyai ketinggian 303 meter.

Selain dari itu, ia turut menjadi tumpuan penggemar aktiviti rekreasi kerana mempunyai beberapa gunung termasuk Gunung Stong, Gunung Ayam, Gunung Tera dan Gunung Baha di sekitarnya.

Pada 28 hingga 30 Ogos lalu, Ezzrinorhisham Zainuding bersama sembilan rakannya mengambil peluang untuk mendaki tiga gunung di hutan simpan terbabit iaitu Gunung Baha, Gunung Ayam dan Gunung Stong.

Ezzrinorhisham berkata, dia bersama beberapa rakannya bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki kereta api ke Gemas sebelum bertemu rakan lain dari Johor.

GUNUNG Ayam.
GUNUNG Ayam.

Katanya, kemudian mereka menaiki kereta api KTM Ekspres Rakyat Timuran dengan membeli tiket 'sleeper train' yang dilengkapi dengan kemudahan katil.

"Sebaik tiba kira-kira 12.30 tengah hari, kami bertemu dengan pemandu arah yang dipanggil Abe Woo sebelum dibawa ke tempat permulaan pendakian di Stong Hill Resort.

"Selepas diberikan sedikit taklimat, kami memulakan perjalanan hari pertama ke Kem Baha yang akan menjadi tempat kami bermalam," katanya.

Menurutnya, perjalanan ke kem ini mengambil masa selama dua jam termasuk melalui kaki Air Terjun Jelawang.

"Melihat daripada dekat air terjun ini, memberi keinsafan betapa kerdilnya diri ini.

"Selepas mengambil gambar, perjalanan diteruskan. Sebaik tiba kami mendirikan khemah. Selepas mendengar taklimat dan makan malam, kami tidur lebih awal untuk mendapatkan rehat secukupnya kerana perjalanan esok lebih mencabar dan dijangka mengambil masa selama 13 jam," katanya.

Pada keesokan hari, sebelum memulakan perjalanan mereka sempat mengambil peluang untuk melihat keindahan matahari terbit dan awan karpet dari Kem Baha sebagai pembakar semangat.

LALUAN ke Kem Baha sebagai pemanas badan.
LALUAN ke Kem Baha sebagai pemanas badan.

"Selesai bersarapan, kami memulakan perjalanan mendaki ke Gunung Baha. Pendakian ke puncak gunung ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental kerana laluan mencabar dan agak pacak.

"Selepas hampir empat jam mendaki, kami sampai ke puncak Gunung Baha yang berketinggian 1,450 meter," katanya.

Jelasnya, tanpa berlengah, perjalanan diteruskan ke Gunung Ayam yang berketinggian 1,550 meter yang mengambil masa hanya 30 minit.

"Biarpun perjalanan tidak lama, laluan ke puncak gunung ini tetap mempunyai cabaran tersendiri apabila kami perlu menempuh banyak laluan curam.

"Kami hanya berada sebentar di puncak untuk mengambil gambar sebelum turun rehat di kawasan punca air untuk mengambil air dan makan tengah hari," katanya.

Kemudian, ekspedisi diteruskan ke Gunung Stong yang berketinggian 1,422 meter.

"Pendakian ke sini tidak begitu sukar dan laluannya cantik kerana dipenuhi dengan pokok-pokok tanah tinggi dan udara yang nyaman.

KEUPAYAAN fizikal dan mental pendaki diuji.
KEUPAYAAN fizikal dan mental pendaki diuji.

"Alhamdulillah kami selamat tiba di puncak Gunung Stong pada 4 petang sekali gus berjaya mencapai misi menawan tiga puncak di Taman Negeri Gunung Stong," katanya.

Bagaimanapun mereka tidak dapat berada lama di puncak untuk meraikan kejayaan itu apabila diminta bergerak turun kerana perjalanan pulang ke Kem Baha mengambil masa yang lama selain bimbang hujan lebat.

"Seperti dijangka berlaku hujan lebat menjadikan perjalanan turun lebih sukar. Kami perlu lebih berhati-hati kerana laluan yang agak curam dipenuhi dengan akar-akar kayu agak licin.

"Pada masa sama, kami diminta bergerak lebih pantas bagi mengelakkan fenomena kepala air yang boleh mengakibatkan kami terkandas lebih lama di hutan.

"Alhamdulillah, kami selamat sampai ke Kem Baha pada 6.40 petang. Perjalanan kami menawan tiga puncak juga dapat diselesaikan dengan lebih cepat iaitu 10 jam berbanding 13 jam seperti yang dijangka," katanya.

MATAHARI terbit dan awan karpet yang menakjubkan.
MATAHARI terbit dan awan karpet yang menakjubkan.

Secara keseluruhan, Ezzrinorhisham melihat peluang mendaki tiga gunung selama 10 jam antara pengalaman terbaik sepanjang terbabit dalam dunia rekreasi.

"Biarpun perlu berdepan pelbagai cabaran, semua itu terbayar apabila kami disajikan dengan pemandangan yang cukup mengujakan. Selain itu, ekspedisi ini banyak mengajar kami untuk lebih menghargai hubungan persahabatan.

"Insya-Allah jika diberi peluang, saya dan rakan akan kembali ke lokasi menarik di sekitar Dabong," katanya.

MENAWAN puncak Gunung Baha.
MENAWAN puncak Gunung Baha.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 6:30 AM