KRU bot nelayan asing yang ditahan. FOTO ihsan APMM
KRU bot nelayan asing yang ditahan. FOTO ihsan APMM
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan tiga bot nelayan selepas dikesan melakukan pelbagai jenis kesalahan maritim, semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, pihaknya mengesan sebuah bot nelayan asing Indonesia di kedudukan 14 batu nautika barat laut Pulau Jarak sekitar 9.45 pagi.

Menurutnya, bot nelayan asing itu dikesan memasuki perairan Malaysia semasa Kapal Maritim (KM) Nyalau sedang melaksanakan rutin rondaan di lokasi terbabit.

"Hasil pemeriksaan mendapati bot pukat rawai yang dikendalikan lima kru termasuk seorang tekong warga Indonesia berusia 14 hingga 40 tahun itu tidak mempunyai nombor pendaftaran.

"Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam perkembangan sama, APMM Perak turut menahan dua bot nelayan tempatan di perairan sekitar 5.5 batu nautika barat daya Pulau Dua kira-kira 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, bot pertama dikendalikan empat kru termasuk tekong warga tempatan berusia 31 hingga 50 tahun, manakala bot kedua pula dikendalikan tiga kru termasuk tekong warga Myanmar berusia 43 hingga 49 kerana disyaki menangkap ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 8:32 PM