BOT nelayan yang ditahan kerana melakukan kesalahan menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika. FOTO ihsan APMM
BOT nelayan yang ditahan kerana melakukan kesalahan menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika. FOTO ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan lima kru warga Myanmar yang berkerja di bot nelayan tempatan kerana tiada dokumen pengenalan diri di kedudukan 5.5 batu nautika timur Pulau Jarak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 5.05 petang itu, lima warga asing berkenaan ditahan susulan bot kelas C itu didapati menceroboh zon tangkapan.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, penahanan itu dilakukan Kapal Maritim (KM) Nyalau yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di perairan negeri.

"Ketika ditahan, bot yang dikendalikan lima kru warga Myanmar termasuk tekong itu tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot nelayan berkenaan disyaki melakukan kesalahan menangkap ikan kurang daripada 12 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shahrizan berkata, bot bersama kru serta hasil tangkapan dianggarkan 300 kilogram pelbagai jenis ikan itu diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imegresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 11:41 AM