KAPAL kargo yang ditahan oleh APMM Perak semalam. FOTO ihsan APMM Perak
KAPAL kargo yang ditahan oleh APMM Perak semalam. FOTO ihsan APMM Perak
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Sebuah kapal kargo bersama 20 orang kru warga Myanmar ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak pada kedudukan 29.7 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, semalam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya'akup berkata, kehadiran kapal kargo itu dikesan jam 1 tengah hari oleh sebuah bot peronda Maritim Malaysia dalam operasi penguatkuasaan di perairan Kepulauan Sembilan.

Beliau berkata, anggota peronda bertindak merapat dan menggeledah kapal kargo itu kerana berlabuh dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat 20 kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 20 hingga 55 tahun berada di kapal.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kapal kargo itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1) (L) di bawah Akta Ordinan Perkapalan (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, pihak APMM turut menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B pada kedudukan 2.7 batu nautika tenggara Pulau Pasir Agas sekitar jam yang sama.

Mohd Hambali berkata, kehadiran bot nelayan itu disedari oleh sebuah lagi bot peronda Maritim Malaysia.

"Pemeriksaan mendapati terdapat tiga kru termasuk tekong warga tempatan berusia 19 hingga 44 tahun disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) di bawah Akta Perikanan 1985.

"Bot serta kru bersama anggaran 30 kilogram hasil tangkapan diiring ke jeti Perikanan Kampung Acheh Sitiawan, untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 9:42 PM