MUHAMAD Zaki pada sidang media sempena penamaan calon Parlimen di IPK hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali
MUHAMAD Zaki pada sidang media sempena penamaan calon Parlimen di IPK hari ini. FOTO Hidayatidayu Razali
Hidayatidayu Razali


Image

Kota Bharu: Polis Kelantan mengesan dua kesalahan dilakukan penyokong calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) masing-masing satu di Kuala Krai dan Rantau Panjang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kesalahan berkenaan membabitkan cuba menerbangkan dron di Rantau Panjang dan bermain alat muzik di Kuala Krai.

Katanya, polis meminta individu berkenaan menurunkan dron yang dinaikkan itu kerana menjadi kesalahan memandangkan tidak mendapat kebenaran daripada pihak Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Sementara itu, beberapa individu yang bermain alat muzik, kita menasihatkan mereka berhenti berbuat demikian kerana boleh mengganggu ketenteraman awam.

"Sempena PRU-15 ini, seramai 2,301 pegawai dan anggota polis termasuk daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan unit udara yang bertugas untuk memantau dan membuat kawalan di semua pusat penamaan calon di 14 Parlimen hari ini.

"Tidak ada insiden yang berlaku dan hanya perkara kecil saja iaitu cuba terbangkan dron dan bermain alat muzik," katanya pada sidang media sempena penamaan calon Parlimen di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, kemungkinan penyokong berkenaan tidak tahu peraturan dan pihaknya memberi nasihat.

Katanya, ia adalah satu permulaan yang baik kerana tidak ada cetusan provokasi yang berlaku dan semua penyokong yang hadir mematuhi serta bergerak dengan begitu teratur.

"Saya percaya proses PRU-15 kali ini akan berjalan dengan baik. Saya berharap dalam tempoh berkempen bermula hari ini sehingga jam 12 tengah malam pada 18 November ini akan berlangsung dengan aman kerana polis akan menghantar pasukan pemantau," katanya.

Muhamad Zaki berkata, calon bertanding yang hendak berkempen termasuk mahu mengadakan ceramah perlu memohon permit dengan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:38 PM