KEHADIRAN penyokong memperagakan busana pengantin mencuri tumpuan pada hari penamaan calon bagi Parlimen Simpang Renggam. FOTO Essa Abu Yamin
KEHADIRAN penyokong memperagakan busana pengantin mencuri tumpuan pada hari penamaan calon bagi Parlimen Simpang Renggam. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Image

Kluang: Kehadiran penyokong memperagakan busana pengantin mencuri tumpuan pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di Parlimen Simpang Renggam.

Mohd Sailan Saidi, 54 dan Nur Mizatulamni Mohd Rafie, 25, memakai pakaian pengantin berwarna merah bagi memberikan sokongan kepada calon Dr Maszlee Malik Pakatan Harapan (PH) di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam.

Menurut mereka, busana pengantin berkenaan adalah idea Dr Maszlee sendiri bagi memberi kelainan, menaikkan semangat dan menceriakan lagi suasana pada hari penamaan calon.

"Agak kelam kabut juga sebab idea ini muncul malam tadi. Mujur rakan saya ada mengusahakan butik pengantin, mudah untuk dapatkan baju pengantin berwarna merah seperti warna bendera PH.

" Memang dari dulu saya sudah terlibat dengan kerja-kerja bersama parti. Cuma kali ini istimewa, sebab saya mengenakan baju pengantin pada hari penamaan calon PRU-15," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu rakannya, Nur Mizatulamni Mohd Rafie, 25, menganggap gimik memakai busana pengantin pada hari penamaan calon PRU-15 di Parlimen Simpang Renggam, sesuatu yang berbeza dan memberi kenangan indah untuk dirinya dan rakan-rakan penyokong parti.

"Walaupun ia perancangan saat akhir, saya berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan busana pengantin pada awal pagi dari kawan.

"Ini kali pertama saya terbabit sebagai penyokong pada hari penamaan calon. Saya gembira kerana dapat mengenakan pakaian pengantin dan dapat menaikkan semangat penyokong PH," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 12:27 PM