ABDUL Hadi (dua kanan) bersama calon PH, bersama calon PH, Azhar (kanan), Jasmira (tiga kiri) dan Zarawi (kiri), selepas penamaan calon Parlimen Marang, hari ini. FOTO Baharom Bakar
ABDUL Hadi (dua kanan) bersama calon PH, bersama calon PH, Azhar (kanan), Jasmira (tiga kiri) dan Zarawi (kiri), selepas penamaan calon Parlimen Marang, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Image

Marang: Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, dicabar tiga calon lain yang mahu merampas kerusi Parlimen Marang yang disandangnya sejak dua penggal lalu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)

Mereka membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman, calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Azhar Ab Shukur dan calon Pejuang, Zarawi Sulong.

Pada PRU-14, Abdul Hadi memperoleh majoriti 21,954 undi menewaskan Mohamad Nor Endot (BN) yang memperoleh 31,795 undi dan Zarawi yang memperoleh 5,138 undi.

Tiga calon yang mencabar Abdul Hadi ini pastinya akan berusaha keras menggunakan pelbagai kaedah kempen bagi memastikan cogan kata 'Marang milik Abdul Hadi' dinoktahkan 131,745 pengundi pada 19 November ini.

Abdul Hadi pada sidang media selepas menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding mempertahankan kerusi parlimen itu menampakkan wajah keyakinan apabila mengakui akan meninggalkan kawasan bagi menjelajah ke seluruh negara demi membantu kempen calon Perikatan Nasional (PN).

"Tergugat atau tidak kedudukan saya, ia akan dipulangkan kepada 131,756 pengundi.

"Walaupun terpaksa bertanding pada pertandingan empat penjuru, tetapi itu adalah proses demokrasi, tetapi kita yakin mampu pertahankan kerusi Parlimen Marang," kata Abdul Hadi.

Mengulas mengenai kempen, Abdul Hadi berkata, jentera pilihan raya PAS diminta mengamalkan kaedah berkempen secara berhemah dan tidak melakukan provokasi serta bersikap sopan dan beradap.

"Saya sudah memberi taklimat kaedah berkempen dan semua jentera diminta mengutamakan agenda perpaduan ummah bertujuan menyatukan umat Islam dan Melayu," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, proses penamaan calon berjalan dalam suasana yang penuh dengan keharmonian.

"Semua agensi penguat kuasa termasuk pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam mengawal penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 3:25 PM