Zahratulhayat Mat Arif


Image

Bagan Datuk: Meletakkan calon 'pembunuh gergasi' di Perak bukan jaminan mereka mampu memenangi kerajaan negeri, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Terdapat tokoh politik yang bertanding di Perak, khususnya di Lembah Kinta. Tujuan mereka adalah untuk mengambil alih pentadbiran negeri di Perak.

"Tetapi kami percaya kepimpinan Saarani (Datuk Seri Saarani Mohamad) dan ahli majlis eksekutif BN (EXCO). Kita perlu bermula di Bagan Datuk," kata beliau ketika berucap di hadapan ratusan penyokong BN berhampiran pusat penamaan calon.

Kenyataan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada kerusi Parlimen Tambun yang menyaksikan pemimpin-pemimpin tertinggi parti bertanding membabitkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Umno Bahagian Tambun Datuk Aminuddin Md Hanafiah.

AHMAD Zahid ketika bertemu dengan penyokong BN. FOTO NSTP
AHMAD Zahid ketika bertemu dengan penyokong BN. FOTO NSTP

Beliau, menambah parti itu perlu memenangi 112 kerusi untuk meraih kemenangan dan percaya ia dapat dicapai dengan komitmen dan persediaan yang tinggi oleh calon dan jentera parti.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu tiba di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh pada jam 9.13 pagi.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) Dr Muhammad Faiz Na'aman tiba pada jam 8.30 pagi, diikuti oleh calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Turut dilihat di pusat penamaan calon ialah bekas anggota Parlimen Sungai Benut, Tawfik Ismail yang juga anak lelaki Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang sebelum ini mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 11:03 AM