Amir Abd Hamid

Sungai Buloh: Khairy Jamaluddin mengakui berasa seolah-olah bertanding kali pertama dalam pilihan raya umum (PRU) selepas berjumpa dengan jentera Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, hari ini.

Beliau yang dicalonkan untuk bertanding kerusi itu selepas beberapa beberapa penggal menyandang Parlimen Rembau turut berkongsi rasa gementar.

Katanya, perasaan itu bagaimanapun beransur hilang apabila melihatkan sambutan padu jentera BN dan Friends of BN Sungai Buloh yang meraikan kehadirannya untuk bertanding PRU-15 nanti.

"Mestilah gemuruh sebab saya bertanding (sebelum ini) di Parlimen Rembau dan tiga kali menang. Setiap kali turun gelanggang, gemuruh itu ada tetapi itu kawasan kita.. ini kawasan baru dan kawasan hitam yang saya akan cuba yakinkan pengundi. "Tidak mahu jadi seperti tempat lain di mana sebelum bermula (kempen) telah timbul pelbagai masalah. Saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan BN Sungai Buloh kerana malam ini jelas tiada boikot, semua datang.

"Ini memberikan keyakinan kepada kita, jentera bersatu padu dan berusaha dengan gigih supaya dapat meyakinkan pengundi di Sungai Buloh ini," katanya ketika ditemui media selepas perjumpaan bersama jentera BN Sungai Buloh, malam tadi.

Khairy berkata, tugasnya untuk menawan semula Parlimen Sungai Buloh bukanlah mudah kerana majoriti undi dimenangi pihak lawan sebelum ini melebihi 20,000 undi.

"Ini bukan benda mudah. Sebab itulah Insya Allah saya akan melancarkan manifesto ....bukanlah janjikan bulan bintang tetapi yang khusus bagi setiap lokaliti, PDM (Pusat Daerah Mengundi), ada perkara yang saya akan memberi komitmen.

"Kita masih calon 'underdog', jangan lupa kawasan ini kita kalah lebih 20,000 undi. Sebab itu kita perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk yakinkan pengundi. Malam ini memang sambutan menggalakkan. Hebat, sebab ini jentera BN, tetapi Sungai Buloh pengundinya seramai 160,000 orang, bukan semuanya ada pada malam ini," katanya.

Menurutnya, untuk itu beliau mahu menyampaikan mesej kepada pengundinya sama ada secara bersemuka atau melalui media sosial.

"Sekurang-kurangnya sebahagian besar daripada 160,000 ini tahu apa yang KJ (nama panggilannya) nak bawa," katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau menitipkan pesanan supaya dirinya termasuk jentera berkempen secara 'gentleman' dan beradab dengan tidak melakukan serangan peribadi kepada pihak lawan.

Katanya, beliau mahu kerusi itu ditawan secara idealisme dan kempen yang baik.

Parlimen Sungai Buloh disandang R Sivarasa daripada PKR sejak 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 12:14 AM