GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Mohd Amin Jalil

SEORANG lelaki warga usia emas yang juga pemandu sebuah kereta maut sejurus terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Dalam kejadian jam 6.40 pagi tadi di Kilometer 27.3, Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH), mangsa, Md Marzuki Md Pilus, 65, berasal dari Bandar Sunggala Port Dickson, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Abd Kadir, berkata, kemalangan berlaku ketika kereta model Proton Saga dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Teluk Kemang, Port Dickson menuju ke Seremban.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu Md Marzuki hilang kawalan dan terbabas sehingga melintang di atas jalan.

"Sebuah kereta lain model Mercedes Benz yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak dan melanggar kereta mangsa.

"Akibat pelanggaran itu mangsa tersepit di dalam kenderaan. Anggota bomba dan penyelamat kemudian bergegas ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa.

"Pemandu kereta Proton Saga itu disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan. Manakala seorang penumpang di dalam kereta itu mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan.

"Bagaimanapun pemandu dan penumpang kereta Mercedes mengalami cedera ringan ," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan APJ 1987.

Keterangan gambar

1) Anggota bomba memberikan bantuan kepada mangsa kemalangan di Lebuhraya SPDH dekat Seremban.

2) Mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya SPDH dekat Seremban.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 3:26 PM