Som  (kiri) menunjukkan kereta yang turut terbabit dalam nahas.
Som (kiri) menunjukkan kereta yang turut terbabit dalam nahas.
HM Digital

Tapah: Polis merakam percakapan seorang pemandu kereta Proton Iswara yang turut terbabit dalam kemalangan meragut sembilan nyawa di Kilometer 45, Jalan Ipoh-Teluk Intan, dekat sini, Sabtu lalu.

Lelaki berusia 47 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah kelmarin, selepas polis mendapati kereta dipandunya turut terbabit dalam kemalangan membabitkan lori muatan ais dengan sebuah van.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan lanjut di lokasi kejadian pada jam 4 petang Sabtu lalu, polis menemui plat nombor pendaftaran lima meter dari lokasi kejadian.

Katanya, hasil semakan mendapati kereta berkenaan dimiliki lelaki berusia 47 tahun itu.

“Sepasukan pegawai dan anggota pergi ke sebuah rumah di Langkap, Teluk Intan dan mendapati lelaki terbabit mengaku turut terbabit dalam kemalangan itu,” katanya pada sidang media di IPD di sini, semalam.

Beliau berkata, lelaki terbabit memaklumkan ketika kejadian, pemandu lori yang membawa muatan ais merempuh bahagian kanan belakang kereta miliknya sebelum melanggar van yang dinaiki sembilan mangsa.

“Selepas dirempuh, kereta berkenaan berpusing dua kali dan berhenti di kiri jalan raya sebelum pemandunya meninggalkan lokasi kejadian.

“Lelaki berkenaan tidak membuat laporan polis berhubung kemalangan itu berikutan lesen memandunya tamat tempoh serta kereta dipandu tidak mempunyai cukai jalan dan insurans.

“Kereta yang disembunyikan di belakang rumahnya dibawa ke Balai Polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Som Sak berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman kerana tidak memperbaharui lesen memandu serta cukai jalan.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 22 tahun ditahan selama 24 jam bagi membantu siasatan berhubung kemalangan itu.

“Siasatan mendapati lori dipandu lelaki itu sudah menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) tiga bulan sebelum kejadian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 4:20 AM