JKDM Sibu merekodkan 55 kes rampasan rokok, minuman keras, barangan tak berkastam dan dadah. FOTO Bernama
JKDM Sibu merekodkan 55 kes rampasan rokok, minuman keras, barangan tak berkastam dan dadah. FOTO Bernama
BERNAMA

Sibu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu merekodkan 55 kes rampasan rokok, minuman keras, barang tak berkastam dan dadah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM5.126 juta sejak awal tahun ini hingga 10 Mei lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Norizan Yahya berkata nilai barangan yang dirampas daripada kes-kes terbabit ialah RM2,701,336.54 melibatkan cukai sebanyak RM2,424,989.19.

Kejayaan terbaharu JKDM Sibu membabitkan rampasan 2,130,000 batang rokok dan 1,837.44 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam ketika serbuan oleh sepasukan anggota dan pegawai terhadap sebuah bangunan terbiar di Lorong Tunku Abdul Rahman 29A di sini pada 8.55 pagi, 7 Mei.

"Rampasan yang dibuat dianggarkan bernilai RM763,874.40 dan membabitkan jumlah duti dan cukai bernilai RM2,274,537.67," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini, Norizan berkata tiada tangkapan dibuat ketika serbuan kerana tiada sesiapa datang ke tempat itu selepas tiga jam pasukan berkenaan menunggu.

Beliau percaya pelaku menyembunyikan dan menyimpan barang tidak berkastam di bangunan terbiar itu bagi mengelak dikesan dan mengaburi pihak berkuasa sebelum mengedar barang-barang terbabit ke pasaran tempatan.

Sepanjang tempoh itu, Norizan berkata 39 kes membabitkan rampasan rokok dan minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam dengan nilai barang rampasan termasuk cukai berjumlah RM3,226,451.65.

JKDM Sibu juga berjaya menggagalkan enam kes cubaan membawa masuk dadah jenis methamphetamine, ketamin dan ganja melalui Lapangan Terbang Sibu dengan anggaran berat kasar keseluruhan sebanyak 46.88 kilogram dan bernilai RM1,488,030.00.

"Dadah terbabit dibawa dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan kita percaya Sibu dijadikan transit sebelum diseludup ke negara jiran Indonesia melalui jalan-jalan tikus di sempadan," katanya.

Beliau berkata sembilan kes membabitkan barang berduti yang tidak diikar dengan betul dirampas di Pelabuhan Rajang dengan nilai barangan dan cukai berjumlah RM367,306.58.

Menurut Norizan, satu kes babitkan kenderaan asing dari Brunei yang dipercayai menyalahgunakan kemudahan pengecualian cukai yang diperuntukkan di bawah Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 dengan anggaran nilai dan cukai berjumlah RM44,537.50.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 7:01 PM