KEADAAN Proton Waja yang remuk selepas melanggar pokok di bahu jalan di AMJ Kandang- Bukit Lintang. FOTO ihsan polis
KEADAAN Proton Waja yang remuk selepas melanggar pokok di bahu jalan di AMJ Kandang- Bukit Lintang. FOTO ihsan polis
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok ketika cuba melarikan diri daripada diperiksa polis di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Kandang-Bukit Lintang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 4.05 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun terbabit maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kereta peronda polis (MPV) yang membuat rondaan cegah jenayah di AMJ Tanjung Minyak terserempak dengan Proton Waja jam 3.30 pagi dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan kenderaan itu berhenti.

Beliau berkata, bagaimanapun Proton Waja terbabit memecut laju dan dikejar MPV dari Lebuh AMJ Tanjung Minyak - Cheng.

"Tindakan pemandu yang terus memecut dan melanggar lampu isyarat merah di lima lokasi bukan saja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain.

"Dengan bantuan empat lagi MPV, polis menggunakan siren dan pembesar suara mengarahkan supaya memberhentikan kenderaan namun pemandu enggan berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata, Proton Waja itu terus memecut menghala ke Muar, Johor dari AMJ Ayer Molek dan disebabkan hujan, Proton Waja itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar dua pokok di bahu jalan.

"Suspek disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat," katanya.

Afzanizar berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan selain unit anjing pengesan (K9) juga dihantar bagi mengesan barang yang dibuang keluar dari kenderaan oleh pemandu Proton Waja.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Semakan mendapati mangsa mempunyai dua rekod lampau membabitkan samun dan pernah dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959," katanya.

Afzanizar berkata, polis meminta sesiapa yang mengenali mangsa atau warisnya tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 01121633214.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:48 PM