MAZNI (kiri) dan Ahmad Dasuki (dua dari kiri) menyerahkan Geran Sepadan kepada Shah Hirunizam (tengah) bersama isteri dan anak-anak mereka di Taman Kota Masai.
MAZNI (kiri) dan Ahmad Dasuki (dua dari kiri) menyerahkan Geran Sepadan kepada Shah Hirunizam (tengah) bersama isteri dan anak-anak mereka di Taman Kota Masai.
Oleh Mary Victoria Dass

Pilihan bijak seorang bapa menabung di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) Prime bagi empat daripada tujuh cahaya matanya membantu meringankan beban keluarga berkenaan apabila menerima Geran Sepadan lebih RM9,000 secara percuma di sini, kelmarin.

Jurukimpal di syarikat swasta itu, Shah Hirunizam Kadir, 45, berkata, dia dan keluarganya bersyukur menerima Geran Sepadan berkenaan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Sinar Kasih.

Beliau berkata, Geran Sepadan berkenaan digunakan untuk pembiayaan kos pendidikan anak keduanya, Aisyah bagi melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM) peringkat Asasi dalam jurusan Sains Pertanian.

Menurutnya, dia membuka akaun Simpan SSPN Prime bagi Aisyah pada 21 September 2005.

"Saya dan isteri merancang perbelanjaan bulanan keluarga bagi membolehkan kami membuat penabungan untuk anak kerana yakin pendidikan adalah pelaburan jangka panjang.

"Kami bersyukur kerana dapat menabung bagi empat cahaya mata di Simpan SSPN Prime mengikut kemampuan keluarga pada setiap bulan.

"Kami yakin ia akan membantu anak kami ketika menjejak kaki ke menara gading, Alhamdulillah Aisyah dan kakaknya dapat melanjutkan pengajian di universiti.

"Saya memohon geran ini pada bulan lalu dan tidak sampai sebulan kami dimaklum tuntutan Geran Sepadan diluluskan," katanya.

Sementara itu, Aisyah berkata, dia terharu dan kagum dengan ibu dan bapanya yang mementingkan pendidikan dan masa depan anak-anak.

Menurutnya, menerusi Geran Sepadan, proses pengajiannya lebih lancar dan dia lebih bersemangat bagi mengubah nasib keluarga serta mahu membalas jasa ibu bapanya.

"Saya memasang impian menjadi pakar perunding diet dan berusaha bagi terus mencapai kecemerlangan dalam akademik di universiti.

"Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada PTPTN yang menawarkan manfaat penabungan berganda ini," katanya ketika menerima kunjungan daripada Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Johor Mazni Ruslan di kediaman keluarga di Taman Kota Masai di sini, kelmarin.

Ahmad Dasuki berkata, pelaksanaan program ini usaha PTPTN memperkasakan hebahan mengenai keistimewaan produk Simpan SSPN Prime dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan.

Beliau berkata, antara keistimewaan Simpan SSPN Prime yang amat menarik iaitu pemberian Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk keluarga yang layak.

Menurutnya, Geran Sepadan adalah insentif kewangan yang ditawarkan kepada pendeposit yang berpendapatan tidak melebihi RM4,000 sebulan apabila penerima manfaat iaitu anak-anak mendaftar masuk ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang diiktiraf kerajaan.

Katanya, ia antara usaha kerajaan memastikan golongan berpendapatan rendah menikmati manfaat penabungan yang berganda.

"PTPTN mewujudkan instrumen simpanan melalui Simpan SSPN sebagai platform terbaik untuk menggalakkan masyarakat membuat perancangan kewangan bagi tujuan pendidikan tinggi.

"Selain pemberian Geran Sepadan, Simpan SSPN turut menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat untuk masyarakat Malaysia antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan dijamin oleh kerajaan.

"PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa berusaha membantu ibu bapa dan pelajar untuk melanjutkan pengajian ke IPTA, sekali gus komited memastikan tiada lagi pelajar yang tercicir ke IPTA kerana masalah kewangan," katanya.

"Simpan SSPN Prime ini adalah bagi semua golongan dan pendaftaran amat mudah termasuk atas talian.

"Sehingga 31 Ogos lalu, PTPTN sudah menyampaikan Geran Sepadan bernilai RM3.6 juta kepada 2,396 penerima di seluruh negara.

"Maklumat lanjut Simpan SSPN boleh diperoleh di portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat," katanya yang turut menyerahkan Geran Sepadan kepada Shah Hirunizam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 8:01 PM