M Hifzuddin Ikhsan

Padang Terap: Kerajaan akan mempertimbangkan inisiatif khas kepada 500,000 pekebun kecil getah seluruh negara yang bergelut akibat kejatuhan harga komoditi itu ketika ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata dua cadangan yang dikemuka adalah menetapkan harga lantai getah sekerap kepada lebih RM3 sekilogram atau memanjangkan tempoh bantuan musim tengkujuh kepada enam bulan.

Katanya, harga pasaran getah sekerap semasa antara RM2.30 hingga RM2.40 dilihat terlalu rendah sehingga menyukarkan kehidupan pekebun kecil yang kebanyakannya tinggal di luar bandar.

"Kita dapati harga getah rendah dan kerajaan perlu usaha meningkatkan pendapatan pekebun dengan ada dua syor diterima Kementerian Pembangunan Luar Bandar bagi kerajaan pertimbang salah satunya.

"Pertamanya, panjangkan bantuan musim tengkujuh daripada tiga bulan kepada enam bulan dan kedua mempertimbang harga lantai getah sekerap melepasi RM3 sekilogram.

"Saya akan bawa cadangan ini mewakili RISDA kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bagi dibincangkan bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat," katanya pada sidang media selepas Program Pekebun Kecil Makmur 2022 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.

MAHDZIR Khalid (dua kanan) menyampaikan anugerah Tokoh Pekebun Kecil RISDA Pedu kepada Ismail Mat Daud (tiga kanan) pada Majlis Pekebun Kecil Makmur di IKBN Naka, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir
MAHDZIR Khalid (dua kanan) menyampaikan anugerah Tokoh Pekebun Kecil RISDA Pedu kepada Ismail Mat Daud (tiga kanan) pada Majlis Pekebun Kecil Makmur di IKBN Naka, Kuala Nerang. FOTO Luqman Hakim Zubir

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, Ismail turut mengarahkan Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuhkan bagi mencari penyelesaian terbaik berkaitan masalah yang dihadapi pekebun kecil getah yang berlarutan sejak sekian lama.

"Kedua-dua cadangan ini membabitkan kos agak besar, jadi perlu perbincangan teliti. Contohnya, bantuan musim tengkujuh tiga bulan ketika ini babit kos RM200 juta, jika dilanjutkan tiga bulan lagi, maka kena tambah RM200 juta, jadi jumlahnya RM400 juta.

"Begitu juga harga lantai getah sekerap, bagi setiap kenaikan 10 sen kosnya adalah RM100 juta. Jika naik 50 sen, maka kos akan jadi RM500 juta. Kerajaan kena timbang dan tengok yang mana terbaik," katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, nasib penoreh yang menoreh di kebun milik individu lain turut perlu diberi perhatian berikutan golongan itu yang paling terkesan akibat kejatuhan harga getah.

"Kadang-kadang kita terlepas pandang mereka yang menoreh di tanah milik orang lain, jadi kita mahu mereka ini juga diraikan sebagai pekebun kecil getah juga.

"Mereka ini boleh disahkan ketua kampung sebagai penoreh yang menoreh di kebun milik orang lain. Jika tidak, orang yang ada geran tanah sahaja mendapat faedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 1:51 PM