Hamzah Zainudin.
Hamzah Zainudin.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kerajaan kekal dengan pendirian menghantar pulang pelarian Myanmar yang layak atau mana-mana warga asing disabitkan sebarang kesalahan ke negara asal selepas mereka selesai menjalani hukuman.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan memuktamadkan untuk tidak menghalang penghantaran pulang mana-mana individu bagi mengurangkan implikasi kos.

Katanya, kerajaan juga bersedia menghantar pulang mana-mana pelarian Myanmar di negara ini yang dikenal pasti mengemukakan permohonan untuk berbuat demikian.

"Kalau dia (pelarian Myanmar) sendiri tulis surat kepada kita, memohon untuk balik (ke negara asal) selepas menjalani hukuman. Saya akan berikan bil (kos rawatan harian) kepada sesiapa yang cuba tahan mereka untuk kekal di Malaysia.

"Sesiapa sahaja warga asing bersalah di Malaysia, apabila sampai masa kita hantar pulang, kita hantar pulang. Kenapa kita hendak menahan warga asing yang sudah menjalani segala hukuman di sini (Malaysia).

"Kenapa kita hendak tahan dan bayar lagi (kos perbelanjaan merawat mereka) kira-kira RM30 sehari seorang?" katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Ismail Mohamed Said, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Sebelum ini, Malaysia dilapor memulakan penghantaran 1,200 pelarian Myanmar membabitkan pemohon suaka dan tahanan lain ke pelabuhan, selain kapal tentera laut negara itu sedang menunggu untuk membawa mereka pulang.

Tindakan itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada kumpulan hak asasi manusia yang berusaha menghentikan pengusiran itu di mahkamah, atas alasan ia merisikokan nyawa mereka.

Rentetan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara terhadap keputusan kerajaan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang sudah dibawa ke pangkalan tentera laut Lumut, Perak, pada 23 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 7:13 PM