PELARIAN Rohingya dikawal tentera Bangladesh menunggu untuk menerima bantuan di Cox's Bazar. - Foto Reuters
PELARIAN Rohingya dikawal tentera Bangladesh menunggu untuk menerima bantuan di Cox's Bazar. - Foto Reuters
Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kerajaan sedang mempertimbang untuk mengadakan perjanjian dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya berkenaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana UNHCR perlu melaksanakan tanggungjawabnya terhadap pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini.

Katanya, peranan itu juga selaras dengan mandat serta fungsi penubuhan suruhanjaya berkenaan supaya tidak meletakkan beban pengurusan pelarian terhadap kerajaan dan rakyat tempatan semata-mata.

"Kerajaan menghormati mandat dan penubuhan, fungsi dan peranan UNHCR seperti mana yang diperuntukkan di bawah Resolusi 319 (IV) Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Namun, perlu diingatkan Malaysia bukannya negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951 dan Protokol Mengenai Status Pelarian 1967," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka di Bangunan Perdana Putra di sini.

Ahmad Zahid berkata, biarpun tidak menjadi negara ahli, kerajaan membenarkan golongan pelarian dan pemohon suaka untuk berada sementara di negara ini sebelum ditempatkan semula ke negara ketiga atau pulang ke negara asal.

Katanya, kerajaan mengambil berat kegusaran rakyat berikutan kehadiran serta aktiviti yang dijalankan segelintir golongan berkenaan yang bertentangan dengan normal kehidupan, sensitiviti dan budaya setempat, sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan mengambil berat dengan peningkatan ketara jumlah pelarian dan pemohon suaka yang memegang kad UNHCR iaitu seramai 185,760 orang pada Mac lalu berbanding 75,617 pada 2009.

"Seramai 160,332 daripada jumlah keseluruhan adalah pelarian dari Myanmar dengan 107,433 orang terdiri daripada etnik Rohingya. Pelarian lain ialah dari Pakistan (7,109), Yemen (3,466), Afghanistan (3,444), Somalia (3,161) dan Syria (3,161).

"Selain itu, mesyuarat mengambil maklum tindakan UNHCR yang mendaftarkan 984 orang didakwa sebagai pelarian dari Indonesia dan antara alasan diberikan adalah kerana berkahwin dengan pelarian lain di Malaysia, walaupun diketahui bahawa negara terbabit tidak mengalami sebarang krisis kemanusiaan," katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, kerajaan akan memberi penekanan terhadap perancangan dan usaha untuk mengukuhkan peranan dalam pengurusan pelarian serta pemohon suaka melalui empat kluster penambahbaikan utama.

Ia membabitkan mekanisme pengurusan pelarian dan pemohon suaka melalui penubuhan jawatankuasa serta pasukan khas dan penentuan status pelarian bagi meningkatkan keupayaan dan pembabitan agensi kerajaan.

"Kluster penambahbaikan lain ialah penguatkuasaan undang-undang kepada pelarian dan pemohon suaka sebagai penyelarasan penguatkuasaan di negara ini dan sistem sokongan sosial kepada pelarian yang berdaftar dengan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 6:49 PM