Raja Noraina Raja Rahim


Ampang: Bantuan dan inisiatif kepada pemain industri kreatif menerusi Bajet 2023 hanya akan dapat dinikmati sekiranya kerajaan dipimpin Perdana Menteri ketika ini, dipilih menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan berjumlah RM152 juta itu dapat direalisasikan selepas ia dibentangkan semula dan diluluskan di Dewan Rakyat.

"Apabila dibentangkan dalam Parlimen, kita tidak sempat bahas untuk lulus. Dari segi peraturan peruntukan itu perlu dibentang semula, dibahas dan diluluskan baru boleh dilaksanakan.

"Ini bukan setakat manifesto tapi peruntukan yang dibentangkan dalam Parlimen sudah ada sumber kewangan untuk melaksanakan Bajet berkenaan," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Ekspresi@Finas di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) Datuk Seri Mohammad Mentek serta Pengerusi Finas Datuk Seri Zurainah Musa.

Mengulas mengenai Bajet 2023, Ismail Sabri berkata, kerajaan memperuntukkan dana RM50 juta untuk Dana Khas Kandungan Kreatif Kenegaraan (Dekan), peruntukan Dana Kandungan Digital berjumlah RM102 juta serta potongan cukai bagi sumbangan kepada Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem Kenegaraan di bawah Finas.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga memberi pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan studio dan produksi penggambaran serta 80 peratus caruman di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso ditanggung kerajaan.

"Ini bermakna, kerajaan saya terajui perlu dipilih sekali lagi untuk menerajui negara bagi merealisasikan segala bantuan dan inisiatif yang dibentangkan itu," katanya.

 PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. FOTO Bernama
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 5:14 PM