LELAKI tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia dalam sebuah rumah yang terkunci di Jalan Seberang Perak. FOTO Ihsan JBPM
LELAKI tidak sedarkan diri dan dipercayai sudah meninggal dunia dalam sebuah rumah yang terkunci di Jalan Seberang Perak. FOTO Ihsan JBPM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah rumah yang terkunci dari dalam di Jalan Seberang Perak di sini, hari ini.

Lelaki berusia 58 tahun itu ditemukan dalam keadaan terbaring oleh sepasukan anggota bomba yang berjaya berjaya membuka pintu berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohadul Ehsan Mohd Zain berkata, pusat gerakan operasi (PGO) menerima laporan berhubung khidmat khas terkunci dalam rumah pada 12.55 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Pegawai Kanan Bomba (PBK) II Mohd Arizal Mahmud tiba di lokasi tidak lama kemudian.

"Jiran mangsa mendakwa sudah dua hari tidak nampak mangsa yang mempunyai penyakit jantung itu dan terus menghubungi talian MERS 999.

"Setibanya di lokasi, anggota bomba membuka pintu rumah yang berkunci itu menggunakan peralatan khas sebelum menemukan lelaki itu dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tiba di lokasi kejadian sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 4:27 PM