Anggota bomba cuba membuka pintu kenderaan untuk menyelamatkan tiga beradik yang terkunci di Taman Perpaduan, Ipoh hari ini. Foto Ihsan JBPM
Anggota bomba cuba membuka pintu kenderaan untuk menyelamatkan tiga beradik yang terkunci di Taman Perpaduan, Ipoh hari ini. Foto Ihsan JBPM
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Tiga beradik terperangkap dalam kereta yang terkunci hampir setengah jam di Taman Perpaduan di sini, petang hari ini sebelum diselamatkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Jurucakap JBPM Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada 5.21 petang mengenai kejadian itu sebelum sepasukan anggota ke lokasi untuk membuat pemeriksaan.

"Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat tiga orang kanak-kanak lelaki berusia antara dua hingga tujuh tahun terkunci dalam sebuah kenderaan.

"Anggota bomba kemudiannya membuka pintu kereta berkenaan menggunakan peralatan khas sebelum berjaya mengeluarkan mereka," katanya.

Menurutnya, difahamkan ibu mangsa keluar meninggalkan tiga anaknya itu dalam kenderaan untuk membeli makanan di kedai berhampiran.

"Mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan dan operasi tamat pada 5.51 petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Julai 2021 @ 10:28 PM