REMAJA lelaki ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas bilik hotel terkunci. FOTO Ihsan Bomba.
REMAJA lelaki ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas bilik hotel terkunci. FOTO Ihsan Bomba.
Ruwaida Md Zain


Klang: Remaja lelaki ditemukan dalam keadaan lemah dan tidak bermaya selepas dipercayai terkunci di bilik sebuah hotel di kawasan Klang Sentral, di sini sejak malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor, berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas bilik hotel terkunci pada jam 12.16 tengah hari dan bergegas ke lokasi.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang tiba di hotel berkenaan pada jam 12.24 tengah hari.

"Siasatan awal mendapati, pintu bilik hotel berkenaan terkunci dari dalam dan terdapat seorang mangsa di dalamnya.

"Pihak bomba bertindak memecahkan pintu bilik hotel dengan menggunakan peralatan khas dan mendapati mangsa seorang lelaki dalam keadaan lemah tidak bermaya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hafisham berkata, mangsa yang berumur 19 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bomba difahamkan, mangsa terkunci sejak semalam, dipercayai ketika mangsa hendak tidur.

"Kami menerima panggilan dari polis meminta bantuan kerana difahamkan pihak hotel hubungi polis berikutan mangsa tidak daftar keluar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2023 @ 5:46 PM