TINJAUAN sempena hari pertama pengoperasian Lebuhraya Damansara - Shah Alam (DASH) kepada orang awam. FOTO Firdaus Kamal
TINJAUAN sempena hari pertama pengoperasian Lebuhraya Damansara - Shah Alam (DASH) kepada orang awam. FOTO Firdaus Kamal
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pembayaran kepada kontraktor Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PLDASH) dibuat mengikut proses telus serta terma kontrak mengikut peratusan kerja yang disiapkan.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) memaklumkan, Turnpike Synergy Sdn Bhd (Turnpike) adalah kontraktor utama yang dilantik untuk menyiapkan kerja pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

Menurutnya, kerja pembinaan DASH diagihkan kepada lapan Kontraktor Pakej Kerja (KPK) oleh Turnpike melalui proses tender terbuka.

"KPK kemudian melantik pelbagai sub-kontraktor dan pembekal bagi menyiapkan kerja pembinaan dan bayaran kepada KPK dibuat selepas mendapat perakuan dan pengesahan daripada Perunding Jurutera Utama dan Perunding Juurukur Bahan (Perunding) melalui Sijil Perakuan Interim Pembayaran.

"Segala tuntutan daripada KPK disemak, diteliti dan disahkan melalui proses yang telus serta berpandukan terma kontrak mengikut peratusan kerja yang disiapkan," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Syarikat itu berkata, memandangkan pembinaan DASH sudah siap sepenuhnya maka status pembinaan kini dalam tempoh liabiliti kecacatan dan perakuan akaun muktamad akan dikeluarkan selepas semua tuntutan bayaran akhir KPK diperhalusi dan diperakui oleh Turnpike, perunding dan KPK.

Katanya, sebarang tuntutan, dakwaan tunggakan atau pertikaian akan diperhalusi melalui proses yang termaktub di dalam kontrak.

"Jika sub-kontraktor atau pihak yang mendakwa terdapat bayaran yang masih belum dijelaskan oleh KPK, mereka sewajarnya merujuk kepada terma kontrak di antara KPK dan sub-kontraktor bagi mencari jalan penyelesaian.

"Turnpike komited untuk menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian berpandukan terma kontrak dan piawaian tadbir urus korporat yang telus," katanya.

Sebelum ini timbul isu bayaran RM80 juta masih belum diterima subkontraktor walaupun lebuh raya berkenaan sudah dibuka kepada umum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 10:50 PM