BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan jurutera perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd (ZLSB) diarah menyediakan laporan lengkap dalam tempoh seminggu berhubung insiden perancah besi jatuh di kawasan pembinaan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), semalam.

Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan, laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden yang berlaku di persimpangan bertingkat Kota Damansara, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada 7.15 malam itu juga akan diteliti sebelum tindakan lanjut diambil.

Menurut kementerian itu, kejadian itu berlaku di lokasi kelima daripada keseluruhan 14 lokasi di kawasan itu yang sedang menjalankan kerja-kerja dengan mengguna pakai kaedah kejuruteraan yang sama dengan empat daripadanya dilaporkan sudah siap.

"Untuk makluman, semasa kerja-kerja menuang konkrit dijalankan, kawasan pembinaan adalah ditutup sepenuhnya kepada pengguna sepertimana prosedur yang ditetapkan.

"Semakan awal LLM menunjukkan reka bentuk perancah adalah teratur dan disahkan jurutera perunding. Baki kerja membabitkan 10 lokasi hanya boleh diteruskan setelah laporan audit oleh pihak Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan," maklum kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

KELIHATAN anggota JKR, DASH, CIDB, MRCB dan Prolintas menjalankan siasatan punca perancah besi lebuh raya runtuh yang melibatkan dua pekerja cedera di tempat pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH). FOTO Saifullizan Tamadi
KELIHATAN anggota JKR, DASH, CIDB, MRCB dan Prolintas menjalankan siasatan punca perancah besi lebuh raya runtuh yang melibatkan dua pekerja cedera di tempat pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH). FOTO Saifullizan Tamadi

KKR yang kesal dengan kejadian itu juga mengarahkan pihak konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn. Bhd. (PLDSASB) menghentikan serta-merta kerja yang membabitkan struktur sementara.

Selain itu, syarikat berkenaan juga diminta memberikan bantuan yang sewajarnya kepada dua pekerjanya yang cedera dalam kejadian itu.

Sebagai langkah keselamatan, lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) di kawasan berkenaan juga ditutup sepenuhnya.

Dalam kejadian semalam, dua pekerja warga Bangladesh berusia 20-an dan 40-an cedera selepas perancah besi runtuh di tapak pembinaan DASH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Jun 2021 @ 5:32 PM