FAIZAL menunjukkan tapak projek Pakej CA3, Alam Damai, ketika taklimat Media bagi Projek SUKE dan DASH di    Alam Damai, Cheras.
FAIZAL menunjukkan tapak projek Pakej CA3, Alam Damai, ketika taklimat Media bagi Projek SUKE dan DASH di Alam Damai, Cheras.
Idris Musa

Kuala Lumpur: Pihak Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) tidak akan sekali-kali berkompromi soal membabitkan keselamatan dalam pembinaan projek berkenaan.

Pemangku Pengurus Besar SUKE Faizal Othman berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, malah ia dijadikan misi dalam pembinaan lebuh raya itu.

“Kita tidak berkompromi dalam soal keselamatan. Kalau ada kontraktor yang mengabaikannya, kita akan ambil tindakan. Sebab reputasi kita penting. Kita tak mahu apa-apa yang membabitkan (menjatuhkan) reputasi,” katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat media SUKE dan DASH, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS Datuk Mohammad Azlan Abdullah dan Pengurus Besar DASH Latib Rasol.

SUKE dan DASH masing-masing membabitkan kos pembinaan RM4.6 bilion dan RM4.1 bilion dijangka dapat disiapkan pada akhir 2019, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan ibu kota, Jalan Sungai Buloh dan Damansara.

Laluan SUKE sepanjang 24.4 kilometer (km) dengan 14 persimpangan dan DASH sepanjang 20.1km dengan 13 persimpangan bermula dari Puncak Perdana, Seksyen U10 Shah Alam dan berakhir di Persimpangan Penchala.

Faizal berkata, pihaknya bersedia menerima sebarang aduan dan cadangan daripada pihak awam dengan pembinaan projek lebuh raya itu malah sekiranya perlu menyiasatnya.

“Kami harap mendapat kerjasama semua terutama penduduk di kawasan sekitar berkenaan pembinaan ini. Kita sangat terbuka dan sedia menerima sekiranya ada aduan atau cadangan.

“Malah kita mahu maklum balas daripada mereka. Kita buat kerja mungkin tidak rasa, tetapi penduduk sekitar rasa. Maknanya, kita boleh tambah baik untuk kebaikan bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 3:19 AM