Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Laporan portal Harian Metro sebelum ini.
Samadi Ahmad

Putrajaya: Pihak sub-kontraktor dan pemandu lori yang terbabit insiden kanvas 'terbang' akan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dekat sini, esok.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir berkata, kejadian itu membabitkan sebuah lori sampah milik syarikatnya.

Menurutnya, KDEBWM mengucapkan terima kasih dengan keprihatinan orang ramai yang melaporkan insiden membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal di Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang dekat Sepang, semalam.

Katanya, kejadian itu berlaku disebabkan tali pengikat kanvas putus hingga menghalang penunggang dan pembonceng motosikal terbabit sebelum hilang kawalan dan mengalami kemalangan.

"KDEBWM kesal dengan insiden yang berlaku dan tindakan sudah diambil terhadap sub-kontraktor, pemandu dan krew lori terbabit," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Semalam, tular di media sosial mengenai kejadian yang dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang pada 8 pagi.

Video berdurasi 45 saat itu menunjukkan kanvas yang menutup bahagian belakang lori melayang dan 'membalut' badan penunggang dan pembonceng motosikal sebelum ia hilang kawalan dan terlanggar tayar treler yang sedang bergerak laju.

Ramli berkata, segala urusan perubatan dan ganti rugi baik pulih motosikal terbabit juga sedang diselesaikan dan kedua-dua mangsa sedang menjalani rawatan.

Menurutnya, KDEBWM juga menyerahkan sepenuhnya untuk urusan siasatan polis serta tindakan lanjut mengikut undang-undang.

Katanya, KDEBWM memandang serius isu itu dan akan mengambil tindakan tegas kepada sub-kontraktor yang didapati gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk menamatkan kontrak sekiranya perlu.

"KDEBWM amat menitik beratkan isu pematuhan SOP dan menghargai komitmen serta keprihatinan orang ramai mengenai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal di Selangor," katanya.

Berita berkaitan

Kanvas lori tercabut, polis kesan pemilik 'dashcam'

Kanvas melayang nyaris ragut nyawa

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 8:01 PM