Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan menumbuk adik perempuannya, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Farhan Mat Sahid, 31, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Bagaimanapun, hukuman terhadapnya ditangguhkan dan ditetapkan pada 16 November ini bagi tarikh sebutan kes serta hukuman sementara menunggu laporan penuh perubatan mangsa.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk di muka dan kedua-dua lengan wanita berkenaan.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Rakan, di sini, 11 malam 13 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Husna memohon mahkamah menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM3,000.

Dalam rayuannya, Muhammad Farhan meminta mahkamah mengurangkan jaminan kerana dia perlu menjaga ayahnya yang menghidap strok, manakala ibunya baru sahaja dibenarkan keluar dari hospital.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM1,500 dengan seorang penjamin.

TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang. FOTO Aizuddin Saad
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 12:43 PM