Nurul Hidayah Bahaudin


REMAJA lelaki etnik Rohingnya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang, Kuala Lumpur, hari ini, atas pertuduhan membunuh kanak-kanak perempuan, pada 11 Mei lalu.

Pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Normaizan Rahim terhadap tertuduh yang juga pemegang kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) berusia 17 tahun.

Lelaki itu hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Svetlana Nordin ke Kompleks Mahkamah Ampang kira-kira 9 pagi tadi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Sangitaa.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan terhadap kanak-kanak berusia enam tahun itu di bilik hotel di Kuala Lumpur, antara 12.01 tengah malam hingga 1.30 pagi, 11 Mei lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan Normaizan menetapkan 1 September nanti sebagai tarikh sebutan semula kes terbabit bagi mendapatkan laporan kimia dan forensik.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah.

Sementara itu, dalam kes sama, ibu mangsa yang juga warga pemegang kad UNHCR berusia 23 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak.

Wanita berkenaan yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azrul Idrus selepas pertuduhan berkenaan dibaca di hadapan tertuduh oleh jurubahasa mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh juga peminta sedekah atas alasan kes itu serius.

Azrul menetapkan tertuduh tidak diikat jamin atas pertuduhan berkenaan.

Beliau turut menetapkan tarikh sebutan semula kes itu pada 2 Julai nanti dan kes itu dikendalikan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan pengawal keselamatan menemui mayat kanak-kanak berkenaan dalam keadaan terbaring di atas bahu jalan dihadapan pusat beli-belah di Jalan Memada 3.

TERTUDUH di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Aizuddin Saad
TERTUDUH di Mahkamah Majistret Ampang. FOTO Aizuddin Saad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 12:34 PM