MUHAMMAD Iqbal Aiman Manaf, bersama ayahnya menunjukkan kaki palsunya ketika Majlis Konvokesyen Pertama Politeknik Besut, Terengganu, di sini, hari ini. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
MUHAMMAD Iqbal Aiman Manaf, bersama ayahnya menunjukkan kaki palsunya ketika Majlis Konvokesyen Pertama Politeknik Besut, Terengganu, di sini, hari ini. FOTO NURUL FATIHAH SULAINI
Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Keperitan dan kesukaran mengharungi sesi pembelajaran akhirnya terbayar buat Muhammad Iqbal Aiman Manaf, 22, yang juga Orang Kurang Upaya apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya.

Graduan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) itu OKU sejak lahir tidak dapat berjalan seperti orang normal yang lain.

Dia sebak apabila terkenang saat berjuang dalam kekurangan demi mengubah nasib keluarganya.

"Kaki kiri saya lebih pendek berbanding kaki kanan dan saya tidak dapat berjalan seperti orang normal yang lain.

"Masa kecil ada juga rakan yang ejek dan perli namun apabila masuk sekolah menengah serta diploma kebanyakan orang sekeliling boleh menerima diri ini sama seperti orang lain.

"Disebabkan keadaan diri ini jugalah menjadi pembakar semangat untuk lebih berjaya kerana jika saya susah ramai lagi lebih susah daripada saya," katanya selepas menerima diploma pada Majlis Konvokesyen Pertama Politeknik Besut, Terengganu, di sini, hari ini.

Iqbal berkata, dia antara 58 graduan sulung bertuah kerana diberi penghormatan untuk menyertai Majlis Konvokesyen Pertama Politeknik Besut, Terengganu.

Katanya, walaupun tidak sempat untuk mengikuti pengajian di kampus baru namun segala kenangan sepanjang belajar di kampus lama di bangunan kedai yang disewa akan kekal terpahat di ingatan.

"Saya beruntung kerana dahulu tempat penginapan sebelah bilik belajar jadinya lebih dekat untuk berulang-alik tetapi kini kampus baru lebih luas serta selesa untuk pelajar baru.

"Bermula tahun 2020 saya terpaksa menggunakan kaki palsu untuk bergerak dan selepas ini berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sementara itu penerima Anugerah Pengarah, Wan Adib Ashraf Ab Wahab Graduan Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) 22, berkata, dia nekad untuk mengikuti kursus pengajian itu kerana minat serta menyedari bidang ini mempunyai potensi masa depan cerah untuk menjadikannya seorang usahawan berjaya.

"Sekarang ini saya fokus kepada perniagaan secara dalam talian dan banyak subjek yang dipelajari ketika diploma membantu saya melakukan tugasan seharian dengan lebih lancar," katanya.

Anak sulung dari tiga beradik ini berkata, dia amat bertuah kerana mendapat sokongan daripada kedua orang tuanya, Ab Wahab Zakaria, 49 serta Wan Husniza Hussin, 49, walaupun mereka bergelar seorang guru.

"Ilmu yang saya peroleh ini dapat membantu saya membuat laman web serta blog sendiri serta mampu menjana pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 1:03 AM