AMIN Shafiq bersama ibu bapanya selepas Istiadat Konvokesyen ke-89 UiTM dan kali ke-9 peringkat UiTM Melaka di Kampus Lendu, Alor Gajah. FOTO Nazri Abu Bakar.
AMIN Shafiq bersama ibu bapanya selepas Istiadat Konvokesyen ke-89 UiTM dan kali ke-9 peringkat UiTM Melaka di Kampus Lendu, Alor Gajah. FOTO Nazri Abu Bakar.
Nazri Abu Bakar


“SAYA tetap tabah walaupun terpaksa merangkak ke kelas untuk menimba ilmu,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dan Matematik, Amin Shafiq Mohd Zuki selepas menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka di Lendu, Alor Gajah, semalam.

Amin, 24, yang menghidap penyakit saraf kaki hingga paras pinggang sejak lahir hanya menggunakan kerusi roda, termasuk ketika di sekolah rendah, menengah dan universiti bagi memudahkan pergerakannya.

Beliau berkata, walaupun berstatus sebagai orang kurang upaya (OKU), ia bukan halangan buat dirinya untuk meneruskan pengajian bermula ketika peringkat diploma dan ijazah.

Katanya, terpaksa diangkat rakan untuk ke kelas termasuk di tingkat dua dan tiga bangunan universiti adalah pengalaman tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

“Saya gembira di atas sokongan dan kerjasama rakan yang sanggup mendukung dan mengangkat saya beramai-ramai semata-mata untuk saya dapat hadir ke kelas dan pengalaman itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Peristiwa itu adalah kenangan dan azimat berharga buat diri saya untuk sentiasa menghargai semua orang, selain keazaman ingin membantu orang lain mengikut kemampuan saya selepas memiliki pekerjaan kelak,” katanya graduan UiTM Jasin itu.

Anak sulung daripada lapan beradik itu menganggap status OKU bukan halangan untuk mengikuti pengajian ke peringkat lebih tinggi dan paling penting adalah kemahuan dan keazaman.

“Justeru, saya menjadikannya sebagai cabaran untuk berjaya dalam pendidikan dan kehidupan, tambahan pula insan sekeliling terutama keluarga dan adik-beradik amat prihatin dan memberi galakan yang tidak berbelah bahagi.

“Selepas ini, saya berazam untuk membuka perniagaan sendiri sesuai dengan bidang dan kelulusan, sekali gus membantu kedua ibu bapa yang sudah banyak berjasa,” katanya yang berasal dari Kampung Cherang Hangus, Bachok, Kelantan.

Beliau berkata, dengan keadaan bapanya yang juga penjual burger semakin tidak sihat, selain ibu yang tidak bekerja mendorong dirinya berazam membanting tenaga untuk memastikan kehidupan keluarga mereka memperoleh kesenangan.

Amin antara 2,384 graduan menerima diploma dan ijazah sempena majlis konvokesyen berkenaan yang berlangsung di Dewan Taming Sari UiTM Kampus Lendu, Alor Gajah.

Semua diploma dan ijazah disampaikan oleh Pro Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayob.

Sementara itu, ibu Amin, Siti Maryam Harun, 45, amat berbangga dengan pencapaian anak sulungnya itu, sekali gus menjadi contoh kepada adiknya yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 1:01 AM