SHAFRUDDIN (dua dari kanan) melawat pameran ketika merasmikan majlis penutup Karnival TVET Kebangsaan 2023.
SHAFRUDDIN (dua dari kanan) melawat pameran ketika merasmikan majlis penutup Karnival TVET Kebangsaan 2023.
Nurul Fatihah Sulaini


Golongan muda perlu mengambil peluang mengikuti program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sebagai persediaan awal bekalan tenaga kerja mahir mengikut keperluan semasa.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Shafruddin Ali Hussin berkata, langkah itu selari dengan dunia sekarang memasuki fasa Artificial Intelligent (AI) atau kepintaran buatan yang mengakibatkan beberapa pekerjaan beransur hilang, bahkan sudah pupus.

Katanya, graduan TVET Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kelayakan kepakaran dan menjadi pilihan industri serta memenuhi keperluan tenaga mahir negara.

"KPM juga sentiasa mewujudkan nilai tambah teknologi terkini selaras perkembangan industri 4.0 melalui sukatan pelajaran dalam usaha memartabatkan pendidikan TVET.

"Antaranya Smart Faming, Artificial Insemination, Internet of Things (IoT) dalam bidang Pertanian serta Teknologi Automotif Hibrid dan kenderaan elektrik," katanya ketika merasmikan majlis penutup Karnival TVET Kebangsaan 2023 yang dianjurkan Pejabat Pendidikan Daerah Besut di Politeknik Besut, Terengganu baru-baru ini.

Shafruddin berkata, KPM juga sentiasa memastikan bidang pilihan pengajian yang ditawarkan sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa.

"Bidang pengajian yang sering menjadi pilihan seperti kosmetologi iaitu bidang kosmetik, seni reka fesyen dan kulinari dan lain-lain sentiasa dikemas kini.

"Impak positif pada tahun lalu, kebolehpasaran pelajar kolej vokasional adalah 99.16 peratus dengan 84.55 peratus graduan bekerja dan selebihnya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Besut, Abdullah Zawawi Yahya pula berkata, seramai 790 peserta menyertai Karnival TVET Kebangsaan membabitkan 27 agensi serta institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

"Karnival TVET Kebangsaan ini membabitkan 27 agensi dan institusi serta Malaysian Technical University Network (MTUN) dalam bidang TVET.

"Antara universiti yang terbabit seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) serta penyertaan pelajar sekolah rendah dan menengah.

"Bilangan penyertaan sebanyak 538 yang dilaksanakan secara bersemuka dan 252 secara dalam talian yang dilaksanakan secara saringan," katanya yang memaklumkan karnival berkenaan dianjurkan turut mendapat kerjasama Politeknik Besut dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan (IPGKSM), Besut.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah Besut mengambil langkah mengadakan Karnival TVET Kebangsaan ini selaras perkembangan pendidikan terkini yang melihat trend pelajar memilih aliran TVET semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 6:03 AM